Apa Hak Shafie Untuk Menghina Anggota Rela?

Jabatan Sukarelawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai RELA, merupakan satu badan bebas yang diiktiraf oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai anggota keselamatan tambahan di negara ini. Peranan mereka, walaupun majoriti anggotanya berkhidmat secara sukarela, namun peranan mereka dalam menjaga ketenteraman awam tidak dapat di nafikan.

Selama berdekad-dekad lamanya penubuhan RELA ini, tidak ada sesiapa pun pernah mempertikaikannya sehinggalah semalam apabila Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal memperlekehkan anggota RELA yang berkhidmat di sekitar Lahad Datu. Dalam ucapannya, dia menyatakan anggota RELA hanya layak mengawal majlis kahwin semata-mata dan tidak layak berada di zon ESSCOMM.

Apa hak Shafie untuk memperlekehkan anggota RELA yang berkhidmat di kawasan zon berkenaan? Mereka juga adalah kelompok yang begitu inginkan keamanan yang kekal di kawasan berkenaan. Malah, dapat difahami bahawa anggota RELA juga berkhidmat tanpa perlu di kerah ke medan yang boleh dianggap sebagai medan tegang di Timur Sabah.

Nampaknya, Shafie sudah tidak lagi menghiraukan apa jua situasi sehingga semua perkara akan dipolitikkan semahu hatinya. Baginya, apa sahaja ruang untuk memperlekehkan kerajaan negeri Sabah yang ditadbir oleh Tan Sri Musa Aman mahupun kerajaan pusat yang dtadbir oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan dipergunakan sehabis baik bagi mempengaruhi rakyat.

Tidakkah Shafie sedar bahawa bakti yang disumbangkan oleh anggota RELA ini cukup memberi kesan terhadap barisan pertahanan negara seperti pasukan polis dan tentera yang berkawal di sepanjang lebih 1,500 kilometer pesisir pantai Timur Sabah? Adakah dengan cara memperlekehkan sumbangan anggota RELA ini, Shafie akan mendapat keuntungan daripadanya?

Tidak kiralah apa jua barisan pertahanan yang berkawal di sepanjang Pantai Timur Sabah, mereka adalah wakil kepada negara yang mempertahankan setiap inci tanahair ini dari dicerobohi. Malah, mereka juga adalah penjaga kepada ribuan malah jutaan nyawa di sepanjang zon ESSCOMM berkanaan.

Mungkin juga, pemikiran Shafie hari ini sudah ditanam satu bentuk hasutan untuk menghasut rakyat Sabah bangkit menumbangkan kerajaan yang sedia ada. Mungkin inilah amanat yang disampaikan oleh idolanya, Tun Dr Mahathir supaya dia bertindak memperlekehkan apa sahaja yang melibatkan kerajaan. Jika tidak, mana mungkin Shafie bergitu berani menjadi wakil buat Mahathir untuk meminta warga Sabah memaafkan Mahathir.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment