UMNO PERLU WASPADA ELAK PERANGKAP SAMAR MAHATHIR

Paksi perubahan yang hendak dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ialah, apa sahaja yang menjadi penghalang ‘citarasa politiknya’ akan ditentang habis-habisan. Tidak kira jika yang perlu dimusuhi itu adalah institusi Raja-raja Melayu.

Ketika beliau masih perdana menteri Malaysia, Mahathir melihat gelagat Raja-raja Melayu dan keluarga mereka perlu didisplinkan agar tidak mengancam kepentingan rakyat jelata. Maka diwujudkan sebuah mahkamah khas untuk menguruskan masalah disiplin mereka.

Kini beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri tetapi masih melihat bahawa Raja-rajapun menyebarangi sempadan “politik-raja” mengecam sikap “biadap” beberapa pemimpin politik termasuk beliau sendiri yang pernah 22 tahun memimpin Malaysia.

Lantas bila tidak berpuashati dengan tuduhan “biadap” dan “murka” Sultan Selangor terhadapnya, Mahathir dilaporkan bertindak memulangkan dua Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan yang dikurniakan ke atasnya pada 1978 dan 2003.

Pertama, Dr Mahathir menerima Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk. Pingat ini dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.

Sejak 1998, pingat itu membawa gelaran Datuk Seri.

Sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis ‘Jasamu Dikenang’ di Istana Shah Alam, Klang.

Anugerah yang hanya dikurniakan kepada maksimum 25 orang pada satu-satu masa itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan negeri Selangor terhadap sumbangan dan jasa beliau kepada rakyat Selangor selama jadi Perdana Menteri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis itu bertitah baginda berbesar hati mengurniakan DK kepada Dr Mahathir, yang dikenalinya secara peribadi sejak 1970 sebagai rakan akrab almarhum ayahandanya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hubungan jadi keruh

Namun, keadaan keruh selepas ucapan Dr Mahathir pada rapat umum di Petaling Jaya itu yang didakwa menghina masyarakat Bugis. Video petikan ucapan itu tular di media sosial dan mendapat bantahan masyarakat Bugis di Malaysia, termasuk sebahagian di Indonesia.

Antara yang menegur dan kesal dengan kenyataan Dr Mahathir itu termasuklah Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang berasal dari Sulawesi Selatan.

Dr Mahathir ketika itu menjelaskan beliau bukannya menghina suku Bugis tetapi hanya mengata kepada Perdana Menteri Najib Razak yang selalu berbangga dengan keturunan Bugisnya.

“Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa dia pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri,” katanya dalam satu tulisan di blognya pada 26 Oktober lepas.

Bagaimanapun, Dr Mahathir melihat kemelut itu sebagai satu peluang untuk melunasi impian politiknya menjatuhkan kerajaan Umno-BN. Bagi beliau lebih banyak kontroversi mengelilingi isu berkenaan, lebih banyak publisiti yang beliau dapat.

Isu-isu sampingan di sebalik rancangan menjatuhkan kerajaan ini memang mudah menjentik sensitiviti Melayu-Islam dan bukan Melayu. Kebanyakan bukan Melayu memandang isu institusi Raja ini sebagai ‘kurang mesra kepentingan mereka’.

Umumnya, isu ini secara langsung atau tidak, diibaratkan “duri dalam daging kepentingan mereka” hingga mewujudkan ‘persaingan tidak seimbang’ dalam keseluruhan semangat Perlembagaan yang sering dirasakan sebagai ‘memihak Bumiputera dan Melayu’.

Mahathir sering menggunakan “dacing perkauman” dalam perhitungan politiknya. Contoh paling nyata ialah apabila pengundi Melayu umumnya menghukum pertimbangan “kurang Melayunya” terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1988, Mahathir turut dihukum.

Pada Pilihanraya Umum 1999 pengundi Melayu mempamerkan “kemarahan terhadap Mahathir” mengakibatkan Umno-BN hilang kuasa di Terengganu dan hampir tumpas di Kedah. Namun Mahathir bingkas membalas.

Dr Mahathir “mendedak” bukan Melayu dengan pengenalan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Metamatik Dalam Bahasa Inggeris”. Strategi ini merapatkan pengundi bukan Melayu padanya dan mengikis kuasa/nilai ekonomi Bahasa Melayu.

Justeru tidak hairanlah Dr Mahathir menyambar isu kemurkaan Sultan Selangor terhadapnya itu dengan tindakan memulangkan darjah kebesaran Selangor tanpa dituntut oleh Istana Selangor.

Tindakan pantas Dr Mahathir ini mempamerkan ketegasannya tidak mahu Sultan mencampuri politik. Sekali lagi ini merapatkan beliau dengan pengundi bukan Melayu dan “merangsang” aktivis politik Melayu untuk menyokong pendiriannya itu.

Mesej beliau akan mengukuhkan iltizam sesetengah aktivis politik Melayu untuk turut bangkit mencabar institusi Di Raja. Salah seorang daripadanya ialah bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Peluang tentera siber Umno-BN

Dengan mengembangkan fokus penentangan rakyat terhadap institusi di raja, Dr Mahathir akan menyebarkan persepsi bahawa institusi di raja adalah paling akrab dengan kerajaan hari ini dan dihasut supaya “melemahkannya”. Yang untungnya parti-parti pembangkang.

Belum seminggu Umno bersidang dengan rumusan Umno patut memenangi perang siber, pakatan pembangkang pimpinan Dr Mahathir sudah mendahului dengan memperbesarkan kemelut sektor politik lawan institusi di raja. Apa Tan Sri Annuar Musa mahu lakukan?

Bagaimana mahu menyekat tentera siber Umno-BN terjebak dalam agenda politik Dr Mahathir? Dalam kes ini jelas Mahathir yang ‘menentukan’ agenda perang siber. Isu ini jika tidak tangani dengan tuntas akan menjarakkan Melayu dengan bukan Melayu.

Mungkin adalah bijaksana jika Umno-BN ambil kesempatan ini untuk memperjelaskan apa takrif “menghasut” dan “kesetiaan” pada Raja-raja. Biarlah dilakukan siasatan terperinci berhubung kemelut ini agar ia boleh menjadi sempadan di antara institusi Diraja dan politik.

Hasil siasatan boleh mempamerkan siapakah dan pihak manakah yang turut terbabit dalam usaha yang nampaknya agak tersusun untuk “meremehkan” institusi di raja ini.

Sikap membisu Menteri Besar Selangor, misalnya, yang “kurang bersemangat” mempertahankan institusi di raja patut diteliti sebagai satu ‘kelemahan’ atau unsur terbabit memercikkan api “memandang rendah kedudukan Sultan Selangor”.

Dalam kes ini Dr Mahathir nampaknya yang mendapat publisiti dan berjaya “menyakat” UMNO-BN untuk menyebarluaskan publisiti untuknya. Sedangkan jentera UMNO-BN nampaknya terkial-kial untuk memberi respons.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana