SURI RUMAH BERBANGSA CINA DIPENJARA KERANA HINA NABI MUHAMMAD SAW

IPOH – Seorang suri rumah dipenjara enam bulan dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah didapati bersalah mengeluarkan kata-kata yang menghina Nabi Muhammad SAW, tahun lepas.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda RM15,000 yang dikenakan.

Semasa menjatuhkan hukuman itu, Majistret Siti Hanum mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Tham Yut Mooi, 46, didapati bersalah melakukan kesalahan itu di ruang solat Masjid Abu Ubaidah, Jalan Perpaduan, Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini kira-kira 5.30 petang, 4 Mei 2016.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan, suri rumah itu dituduh mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad di masjid berkenaan yang didengar oleh Mohd Halim Buyong,44, Abdul Rahim Mat Diah,53, dan Mohd Yunos Harun,73, dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan individu berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Chiang Woei Chien.

Terdahulu, Fadhli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius, membabitkan sensitiviti agama, mempunyai kepentingan awam dan hukuman perlu dijadikan pengajaran kepada sesiapa pun.

Chiang sebaliknya memohon hukuman diringankan kerana suri rumah itu mempunyai dua anak dan ibu bapa yang perlu ditanggung.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan tetapi tertuduh perlu membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana