Ezam tak mampu 'takutkan' pemimpin Umno BN apatah lagi Najib - penganalisis

SHAH ALAM: 'Track record' yang kurang menyerlah selain kerap melompat parti menjadikan Datuk Ezam Mohd Noor bukan saingan sengit kepada mana-mana calon Umno Barisan Nasional (BN) apatah lagi penyandang kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata hasrat menggunung Ezam yang mewakili Hisbah Centre for Reform (Hisbah) mencabar kedudukan Najib yang juga perdana menteri itu disifatkan sebagai 'tidak sepadan'.

"Umum bertanding (wakili) Hisbah atas tiket apa? Bebas? Dia pun belum tentu diterima pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahupun Gagasan Sejahtera.

"Dia pun masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun sekejap saja. Saya lihat Ezam tak punyai pengaruh yang kuat, hanya berdasarkan kepada jawatan bekas ketua pemuda PKR dulu, sedangkan nak tanding di Pekan, setakat ada nama saja tak mencukupi.

"Kena ada jentera yang kuat. Kalau bertanding atas tiket Bebas mewakili Hisbah, mana ada jentera dan sebagainya. Bagi saya ini satu cabaran yang tidak serius," katanya kepada Antarapos.

Hisbah baru-baru ini mengumumkan bakal meletakkan Pengerusi mereka, Ezam untuk bertanding di satu kerusi Parlimen pada PRU14 akan datang, dan menyasarkan Pekan sebagai kerusi utama kerana ia merupakan kerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ezam merupakan bekas Ketua Pemuda PKR, namun kemudian menyertai Umno. Beliau pernah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan pengarah komunikasi strategik di Kementerian Kewangan.

Ezam kemudian keluar Umno dan menyertai PPBM yang diterajui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun sekali lagi keluar parti dan menubuhkan Parti Generasi Baru.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Ezam meninggalkan parti berkenaan ekoran kelewatan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan pertukaran nama pertubuhan itu menjadi Parti Bebas Rasuah. Ia adalah kali kelima beliau 'lompat' parti sejak 1998.

Beliau kini memberi tumpuan kepada Hisbah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan usaha memerangi rasuah.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman juga mengingatkan Ezam supaya 'menyelesaikan' isu enam kotak yang pernah didedahkannya sebelum ini terlebih dahulu sebelum menyuarakan keinginan untuk bertanding pada PRU14.

"Tapi sampai sekarang pun tak ada, malah orang hanya buat 'joke' atas pengumuman dia tu," katanya, merujuk kepada dakwaan Ezam sebelum ini kononnya mempunyai enam kotak bukti rasuah pemimpin negara yang menunggu masa untuk beliau dedahkan.

Ezam pada 1999 mendakwa mempunyai enam kotak bukti rasuah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Mahathir, sebelum bekas Senator itu menyertai PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ezam bagaimanapun hanya mendedahkan dua dokumen daripada enam kotak yang didakwa dimilikinya itu, yang menyebabkan beliau dikritik hebat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana