PRU 14: Mukhriz Mahu Bertanding di Bakar Bata… Silakan…. – Ahmad Bahshah

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau sedikit pun tidak berasa tercabar atau tergugat dengan ura-ura yang mengatakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu mencabar beliau di DUN Bakar Bata pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Ujar beliau, Mukhriz berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan tetapi persoalan sebenarnya adakah dia sendiri berasa tergugat dan hilang keyakinan di DUN Ayer Hitam sehingga mahu mencari tapak baru di kawasan lain.

“Dia nak bertanding manapun tidak ada masalah tapi sebagai pemimpin adakah dia tidak yakin akan menang di kawasan sendiri atau mungkin dia sedar selama ini dia memang abaikan DUN Ayer Hitam… ini memang kita tahu.

“Sekarang pun ada ura-ura mengatakan dia mahu bertanding di Parlimen Langkawi tetapi sebagai pemimpin, Mukhriz sepatutnya terus berada di kawasan sendiri… tidak perlu lari.

“Kalau nak kalah pun sepatutnya sanggup kalah dalam kawasan sendiri. Ini baru orang panggil pemimpin. Kalau lari nak selamatkan diri buat apa jadi pemimpin,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ketika mengulas berkaitan negeri Kedah yang menjadi tumpuan pembangkang pada PRU-14 nanti, jelas Ahmad Bashah, perkara ini bukan satu rahsia lagi dan ia adalah atas dasar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tapi untuk makluman, ia bukan mudah sebab kita buat kerja dan sentiasa berwaspada tambahan pula rakyat sudah merasa bagaimana hidup dalam pentadbiran pembangkang.

“Saya yakin, apa yang dibentangkan oleh pembangkang untuk mengambil sokongan rakyat tidak akan mampu membuat rakyat terpengaruh.

“Saya selalu pesan agar jangan sampai pisang berbuah dua kali sebab dah ada pengalaman. Sebagai pembangkang mereka memang janji bulan dan bintang,” sindirnya.

Justeru beliau berharap agar rakyat khususnya di negeri Kedah menjadikan apa yang berlaku dahulu sebagai iktibar selain belajar dari pengalaman bagaimana susahnya ketika Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang di negeri Kedah.

“Saya tidak rasa rakyat sanggup merugikan masa depan Kedah dan generasi akan datang hanya kerana terpengaruh dengan janji manis pembangkang.

“Kita boleh lihat bagaimana kesungguhan Perdana Menteri sendiri mahu membantu negeri ini dalam Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini. Pelbagai peruntukan diberikan dan salah satunya ialah mewujudkan kawasan bebas cukai yang besar di Bukit Kayu Hitam.

“ini adalah satu perancangan yang akan membuka ruang kepada peluang pekerjaan… lebih daripada 50 ribu peluang. Ini semua untuk siapa? Untuk rakyat negeri Kedah, jadi rakyat negeri Kedah tidak akan gadaikan masa hadapan mereka kepada pembangkang,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana