Pemuda UMNO Kedah Cabar Mukhriz Undang Arul Kanda Berdialog Berkaitan Isu 1MDB

ALOR SETAR, 17 Nov – Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melahirkan rasa kesal dengan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang masih menggunakan isu 1MDB sebagai modal politik untuk menghasut rakyat.

Oleh itu, beliau mencabar Mukhriz dan kepimpinan PPBM untuk mengambil langkah ‘jiwa besar’ dengan menjemput Pengarah Eksekutif 1MDB,Arul Kanda bagi berdialog secara terbuka mendapat penjelasan yang sebenarnya berkaitan isu 1MDB.

“Bagi Pemuda Kedah, Mukhriz sebenarnya cuba menjadi seorang populis tanpa melihat kepentingan negara secara keseluruhannya dan kerana itu dia menabur maklumat separa benar kepada rakyat hanya untuk bermain politik kedai kopi.

“Selain itu bermain isu 1MDB, Mukhiz turut mencadangkan agar subsidi minyak dikembalikan secara keseluruhan. Cadangan ini sebenarnya tidak relevan kerana ia tidak memberi jalan keluar yang konkrit terhadap permasalahan sebenardan boleh diibaratkan sebagai tindakan politik yang tidak bertanggungjawab.

“Mukhriz masih belum memberi penjelasan dan penyelesaian akan kehilangan RM40 Billion pendapatan negara akibat penurunan harga minyak dunia. Persoalannya, adakah cukup dengan perbelanjaan berhemah kita mampu menangani situasi ekonomi yang di luar daripada kawalan kita?,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Tambah beliau, Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya, dasar kerajaan menstruktur kembali subsidi dan pada masa yang sama memulangkan sejumlah penjimatan tersebut kepada kumpulan sasar adalah pendekatan yang paling baik dan ‘forward looking’.

“Pemuda UMNO Kedah merasakan tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menstruktur semua subsidi dan dasar percukaian adalah satu langkah ‘futuristik’ yang harus diteruskan.

“Sekalipun harga minyak kembali stabil dan Kerajaan berjaya mengembalikan pendapatan sejumlah RM 40 billion ini, Pemuda UMNO Kedah percaya kita tidak harus kembali mengamalkan model ekonomi yang lama.

“Dasar ekonomi sedia ada perlu diteruskan dan pada masa yang sama subsidi sebenar seharusnya dinikmati oleh kumpulan sasar yang tepat dan tidak secara pukal,” ulasnya.

Justeru, Shaiful Hazizy menyarankan agar Mukhriz merenung semula pada zaman siapa (menjadi Perdana Menteri) negara paling banyak berhutang sebelum melemparkan tuduhan kononnya kerajaan pusat berbelanja secara tidak berhemah.

“Pada zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri hutang negara adalah setinggi 103 peratus daripada pendapatan kasar negara berbanding hanya 50 peratus pada zaman sekarang yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Kerajaan BN sekarang mengamalkan tanggungjawab politik yang lebih tinggi apabila berusaha menurunkan defisit dan pada masa yang sama kembali mengkaji keperluan subsidi tertentu,” ujarnya. – MediaUMNO

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana