BERI LALUAN UMNO BERTANDING DI KERUSI MAJORITI MELAYU

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tahun depan walaupun tarikh tepat belum diketahui. Seperti biasa dalam pilihan raya sebelum ini orang Melayu adalah penentu kepada parti politik mana yang akan menguasai Kerajaan Pusat.

Sama ada Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa atau diambil alih parti politik lain adalah ditentukan pengundi Melayu yang juga majoriti keseluruhannya.

Kegagalan parti politik mendapat sokongan besar pengundi Melayu akan menyebabkan ia gagal menguasai Kerajaan Pusat yang menimpa pembangkang dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Walaupun pembangkang dapat sokongan besar pengundi bukan Melayu (khususnya pengundi Cina), kerana sokongan kurang besar dan menyeluruh pengundi Melayu, mereka gagal menguasai Kerajaan Pusat.

Ini perlu diberi perhatian serius pimpinan BN, khususnya UMNO dalam PRU14.

Penulis akan menumpukan perbincangan kepada kedudukan kawasan Parlimen yang pengundinya lebih 50 peratus masyarakat Melayu. Calon parti politik manakah yang sepatutnya bertanding di kawasan Parlimen pengundi majoriti Melayu ini?

Dalam tradisi dan amalan BN sebelum ini masih ada banyak kawasan Parlimen pengundi majoriti Melayu diberikan kepada calon rakan politik BN sama ada MCA, MIC atau Gerakan.

Dalam keadaan biasa sebelum PRU12 pada 2008, keputusan ini dianggap wajar atas dasar semangat BN dan tolak-ansur kerjasama politik. Sebelum PRU 2008 semangat dan sokongan pengundi kaum bukan Melayu (khususnya kaum Cina) kepada calon BN dilihat tidak berbelah bahagi.

Calon BN menang besar dan dapat sokongan kaum bukan Melayu di kawasan Parlimen bandar atau luar bandar. Keadaan jelas berubah selepas PRU12. Calon BN di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu kalah.

Adakah tradisi asal di kawasan Parlimen pengundi Melayu perlu diberikan peluang untuk ditandingi calon BN bukan UMNO? Persoalan ini perlu difikirkan dengan mendalam bagi memastikan kekuatan BN dan UMNO khususnya.

Tolak-ansur parti komponen

Dalam tradisi asal dan semangat tolak-ansur sesama parti komponen BN, banyak kawasan Parlimen majoriti Melayu diberikan kepada calon bukan Melayu. Antara kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang diberikan kepada calon bukan Melayu daripada rakan BN seperti P.9: Alor Star (61.6 peratus pengundi Melayu), P. 54 Gerik (68.2 peratus), P. 77 Tanjong Malim (53.52 peratus), P. 83 Kuantan (61.47 peratus) selain P.94 Hulu Selangor, P. 104 Kapar, P. 116 Wangsa Maju, P. 124 Bandar Tun Razak, P. 135 Alor Gajah, P. 148 Ayer Hitam dan P. 151 Simpang Renggam.

Dalam keadaan politik pilihan raya sebelum 2008, ia dianggap perkara biasa kerana banyak kawasan Parlimen pengundi campuran, calon BN dapat sokongan besar pengundi bukan Melayu. Keadaan benar-benar berubah dalam PRU12 dan PRU13 apabila sebahagian besar kawasan pengundi campuran besar peratus pengundi bukan Melayunya, calon BN kalah teruk.

Dengan perkembangan ini, perlu ada penyesuaian baru dalam penyusunan kerusi di kawasan Parlimen yang pengundi Melayunya melebihi 50 peratus.

Jadi, kawasan Parlimen yang pengundi Melayunya melebihi 50 peratus patut diberikan kepada calon BN daripada UMNO.

Kawasan seperti P.9 Alor Star, P.54 Gerik (diberikan kepada calon Melayu mulai 2013),P. 77 Tanjong Malim, P.83 Kuantan (juga diberikan kepada calon Melayu mulai 2013), P. 94 Hulu Selangor, P 116 Wangsa Maju (telah diberi kepada calon Melayu 2013), P. 124 Bandar Tun Razak, P. 135 Alor Gajah, P. 148 Ayer Hitam dan P. 151 Simpang Renggam.

Keputusan pimpinan Najib yang meletakkan calon UMNO bertanding di Parlimen Gerik, Wangsa Maju dan juga Kuantan dalam PRU13 adalah tindakan tepat dan wajar. Diharapkan Najib akan menambahkan bilangan calon UMNO untuk bertanding di kawasan Parlimen majoriti Melayu seperti dilakukan pada 2013.

Adalah tidak wajar kawasan majoriti pengundi Melayu ini diberikan kepada calon bukan Melayu daripada parti komponen. Pengundi Melayu akan sedikit serba salah dan mungkin memihak kepada calon Melayu pembangkang.

Jika calon Melayu diletakkan di kawasan majoriti Melayu ini akan memudahkan pengundi Melayu membuat pilihan dan beri sokongan kepada calon UMNO.

Kawasan Parlimen campuran yang besar peratus pengundi Melayunya (majoriti mengikut pecahan kaum) juga harus diberikan kepada calon UMNO atas dasar semangat tolak-ansur dan kerjasama dalam BN seperti sebelum ini, iaitu pimpinan BN memberi peluang kepada calon BN bukan Melayu.

Kawasan Parlimen campuran

Kawasan Parlimen campuran yang besar peratus pengundi Melayunya seperti P.97 Selayang (45.3 peratus Melayu),P. 100 Pandan (49.85 peratus), P. 107 Subang (47.7 peratus) dan P.109 Kapar (51.5 peratus) perlu diberikan kepada calon UMNO.

Pemimpin utama MCA dan Gerakan perlu bertanding di kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Cina besar seperti di P.114 Kepong (88.4 peratus), P. 120 Bukit Bintang (73.1 peratus), P. 122 Seputeh (88 peratus) dan P. 123 Cheras (82 peratus Cina).

Ini dapat dilihat gambaran sebenar sama ada pengundi kaum Cina mahu atau menolak pemimpin utama mereka untuk berada dalam kerajaan dan menjaga kepentingan mereka. Adalah kurang tepat pemimpin utama MCA bertanding di kawasan Parlimen yang pengundi Melayunya melebihi 50 peratus seperti di P. 77 Tanjong Malim, P. 135 Alor Gajah, P. 148 Ayer Hitam dan P. 151 Simpang Renggam.

Pengurusan semula penentuan calon BN ini perlu disusun bukan dilakukan atas semangat perkauman sempit, tetapi atas dasar semangat yang lebih bersifat demokratik serta realiti baharu pola pengundian politik pilihan raya pasca 2008 bagi mengukuhkan kuasa politik Melayu dan UMNO.

Sepatutnya penentuan calon adalah berasas kaum majoriti di sesebuah kawasan Parlimen. Kedua-dua belah pihak sama ada pembangkang atau kerajaan perlu menggunakan asas yang sama.

Adalah mustahil seorang calon Melayu bertanding di kawasan Parlimen Kepong atau Bukit Bintang, begitu juga seorang calon kaum Cina tidak mungkin bertanding di kawasan Parlimen Ketereh atau Pasir Mas yang majoriti pengundinya bangsa Melayu.

Penentuan calon Parlimen berasaskan kaum pengundi majoriti di kawasan Parlimen itu suatu yang normal dan tidak dapat dipisahkan dalam pengurusan politik dan pilihan raya umum.



Oleh Dr Mohd Noor Yazid

Penulis ialah Profesor Madya di Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana