Nurul Izzah dianggap pengkhianat kerana bertemu anak Jamalul Kiram - Bekas KPN

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan Nurul Izzah Anwar, bertemu anak perempuan Jamalul Kiram iaitu individu yang mendalangi pencerobohan terhadap Lahad Datu, dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara.

Menurut Khalid, Ahli Parlimen PKR itu bertemu Jacel Kiram yang dianggap musuh negara kerana bertindak sebagai jurucakap pengganas Kesultanan Sulu iaitu Tentera Diraja Sulu (RSF) dan menjadi jentera utama dalam apa jua tindakan kumpulan itu ke atas Sabah.

Khalid berkata, Jacel sangat aktif dan agresif mengeluarkan kenyataan di media sosial atau media Filipina, memburuk-burukkan Malaysia berhubung tangkapan pengganas RSF yang menceroboh Lahad Datu serta mengecam negara ini dan pasukan keselamatan.

"Treason' atau pengkhianatan adalah kesalahan serius yang dikategorikan sebagai kesalahan terhadap negara dan boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan. Saya menganggap perbuatan plaintif (Nurul Izzah) sebagai pengkhianatan kerana berjumpa Jacel Kiram," katanya.

Khalid berkata demikian melalui pernyataan saksi dalam kes saman fitnah dikemukakan Nurul Izzah terhadapnya dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 26 November 2015, Nurul Izzah berkata, Khalid dan Ismail Sabri masing-masing mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan di Bera, Pahang pada 22 November tahun sama.

Nurul Izzah berkata kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau seorang penderhaka dan dalang di sebalik serangan serta pencerobohan berkenaan.

Khalid berkata, Nurul Izzah selaku ahli Parlimen dan malah seluruh rakyat Malaysia, tahu atau sepatutnya tahu, bahawa pencerobohan di Sabah pada 2013 meninggalkan kesan besar kepada negara kerana ia bukan saja menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara, malah menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban.

Beliau berkata, pertemuan itu yang didedahkan Jacel sendiri, mengingatkan semula rakyat negara ini kepada peristiwa itu yang menimbulkan keresahan, kebimbangan dan rasa tidak puas hati serta membangkitkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan dengan insiden itu.

Katanya, pertemuan itu juga menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan secara khususnya kepada keluarga anggota serta pegawai keselamatan yang terkorban.

"Saya selaku Ketua Polis Negara (ketika itu) mengeluarkan kenyataan sebagai satu jawapan kepada soalan wartawan mengenai situasi yang hangat diperkatakan dan menarik perhatian awam serta isu membabitkan ketenteraman dan keselamatan negara melalui pertemuan itu.

"Selain itu, saya juga mempunyai tanggungjawab menjelaskan bahawa pertemuan itu berkemungkinan terjumlah kepada suatu kesalahan penderhakaan yang mana adalah dalam bidang kuasa pihak polis untuk menyiasat," katanya.

Khalid berkata, siasatan terhadap Nurul Izzah mengikut Seksyen 124L iaitu cubaan untuk melakukan sabotaj, kemudian dimulakan pihak polis ketika itu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana