MANSUH 2 TOL LEBUHRAYA PERSEKUTUAN DISAMBUT MERIAH RAKYAT SELANGOR



Penutupan kedua-dua plaza tol di Lebuhraya Persekutuan adalah berita yang amat mengejutkan namun tetap disambut gembira oleh rakyat Selangor.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan di Parlimen semalam, adalah buah tangan dan hadiah bermakna Kerajaan Persekutuan BN kepada rakyat Selangor terutamanya penduduk di sekitar Shah Alam dan Klang.

“Penutupan kedua-dua tol ini pada tahun hadapan merupakan satu kejutan yang dilakukan kerajaan pusat. Ini bermakna Perdana Menteri kita masih lagi prihatin dengan nasib rakyat Selangor walaupun negeri ini diperintah pembangkang.

“Apabila diumumkan kedua-dua tol di Selangor ini dimansuhkan, ianya bukan saja boleh meringankan beban rakyat membayar tol, malah boleh juga memberikan laluan di Lebuhraya Persekutuan ini lebih lancar,” katanya ketika ditemui media di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, pada Sabtu.

Noh bersama kira-kira 500 penyokong BN Selangor serta masyarakat tempatan telah berhimpun secara aman di plaza tol berkenaan.

Perhimpunan itu adalah simbolik bagi menyatakan penghargaan terima kasih mereka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan dalam Bajet 2018 semalam untuk memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau, Klang yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2018.

Dalam masa yang sama Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin dalam kenyataannya menganggap bajet 2018 yang dibentang oleh Najib merupakan bajet tiruan daripada bajet negeri itu.

“Apa yang lebihnya Selangor? Apa sumbangan kerajaan Selangor kepada rakyat? Dalam hampir 10 tahun memerintah tak dapat pun mereka nak mansuhkan tol-tol ini, kata ada duit yang banyak kenapa tak lakukannya.

“Tapi hari ini, BN juga yang mansuhkannya, BN juga akhirnya tolong rakyat Selangor ini, jadi jangan banggalah Azmin kononnya ini hasil usaha dan desakan pihak dia.

“Saya ucapkan terima kasihlah kepada BN khususnya UMNO Selangor yang telah lama menperjuangkan isu ini untuk rakyat Selangor dan akhirnya Perdana Menteri mendengar keluhan dan keresahan ini,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Azmin patut menyedari selama ini tiada satu pun infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan negeri pimpinannya boleh dibanggakan oleh rakyat Selangor.

“Kita kena ingat, pembangunan infrastruktur di Selangor ini semuanya daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita buat KLIA contohnya, ada dua kita buat di Selangor, begitu juga dengan lebuhraya, MRT dan sebagainya, Kerajaan persekutuan yang buat.

“Jadi, tidak ada perkara yang boleh dibanggakan oleh Azmin yang kononnya kita tiru daripada Selangor. Sebab itu saya cakap dia Menteri Besar cap ayam,” selar Noh lagi.

Kutipan tol di kedua-dua plaza tol berkenaan telah beroperasi hampir tiga dekad lamanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana