BELA MAHATHIR UMPAMA BELA ADOLF HITLER – SUARAM

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Kua Kia Soong mengutuk tindakan beberapa ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang membela bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada sebarang kesalahan terhadap Operasi Lalang yang berlaku pada 1987.

Beliau berkata kesediaan mereka melupakan siapa yang menjadi dalang di sebalik penangkapan lebih 100 rakyat Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 27 Oktober tahun itu, ibarat membela Adolf Hitler yang mencetuskan Perang Dunia Kedua.

“Ia seperti mengatakan Hitler tidak ada kena mengena dengan peperangan itu dan ia tercetus kerana fasisme dan oleh itu, Hitler tidak perlu meminta maaf,” katanya dalam majlis memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Dr Mahathir yang kini pengerusi Pakatan Harapan, mendakwa Ops Lalang adalah keputusan polis dan beliau membantah operasi tersebut sewaktu memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri pada masa itu.

Kua bagaimanapun sekali lagi menuntut Dr Mahathir memohon maaf kerana menjadi dalang di sebalik Operasi Lalang, terutama selepas beliau kini bersama pembangkang.

“Jika Dr Mahathir adalah pemimpin aktif dalam Umno, kami tidak mengharapkan dia memohon maaf.

“Tetapi jika pilihan raya umum akan datang adalah pertempuran antara gabungan pembangkang dan Barisan Nasional (BN), dan Dr Mahathir memimpin PH, maka dia harus membuktikan dia seorang demokrat yang dilahirkan semula. Jika tidak, mengapa kita harus mengundi PH?”

Kua juga mempersoalkan mengapa begitu sukar Dr Mahathir memohon maaf.

“Kami tidak meminta ganti rugi walaupun saya yakin Dr Mahathir mempunyai banyak wang,” katanya. “Hanya minta maaf. Adakah begitu sukar?”

Operasi Lalang dijalankan untuk mengelak berlakunya rusuhan kaum di negara ini.

Operasi itu menyaksikan penahanan lebih 100 orang termasuk aktivis, ahli politik pembangkang, intelektual, pelajar, artis, saintis dan lain-lain yang ditahan tanpa perbicaraan di bawah ISA. Ia merupakan serangan ISA ke-2 terbesar dalam sejarah Malaysia sejak rusuhan 13 Mei.

Tindakan keras itu berlaku ketika Umno berpecah menjadi 2 kumpulan yang bertentangan. Satu kumpulan diketuai Dr Mahathir dan satu lagi diketuai Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam.

Antara tahanan ISA yang terkenal ialah Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, Naib Presiden MCA Chan Kit Chee, Ketua Pemuda PAS Halim Arshat, Ahli Parlimen Umno Pasir Mas Ibrahim Ali dan Exco Biro Pendidikan Pemuda Umno Mohamed Fahmi Ibrahim.

Selain Kua, yang menjawat jawatan ketua publisiti Jawatankuasa Hak Sivil pada masa itu, turut ditahan ialah Pengerusi Dong Jiao Zong (Persatuan Pendidikan Cina) Lim Fong Seng dan ahli Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Irene Xavier. 

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana