Sengaja tidak bayar ganti rugi kes fitnah NFC

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa sengaja untuk tidak membayar ganti rugi berhubung kes fitnah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan NFC sehingga diberikan notis kebankrapan untuk meraih simpati umum.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menyifatkan ini merupakan sandiwara terbaharu yang dimainkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu untuk menunjukkan imej kepada masyarakat bahawa kononnya dirinya seorang ahli politik yang bersih serta tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi yang diperintahkan oleh mahkamah itu.

“Dia (Rafizi) cuba raih simpati sebenarnya, bukan dia tidak mampu, malah kami ada bukti mengenai maklumat kewangan Rafizi tentang bagaimana dia kumpul dana untuk kepentingan politik dirinya.

“Rafizi sengaja untuk tidak membayar ganti rugi dan dia dipercayai akan menggunakan isu tersebut sebagai modal politiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, Mah­kamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rafizi memfitnah Mohamad Salleh dan NFC melalui kenyataannya bahawa syarikat itu menggunakan dana kerajaan sebagai pengaruh untuk mendapatkan pinjaman bagi lapan hartanahnya.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 kepada NFC selain kos sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun, Rafizi gagal me­lunaskan ganti rugi dan kos ditetapkan itu sehingga diberikan notis kebankrapan yang dikelu­arkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, 12 September lalu.

Menurut Azwanddin, Rafizi di­percayai akan menjaja isu notis kebankrapan itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Rafizi memang tidak akan bayar ganti rugi ini sehingga pilihan raya kerana ini merupakan strategi politik yang telah dirancang olehnya.

“Cubaan begini bagi saya tidak laku lagi, dia telah terbukti bersalah oleh mahkamah jadi dia cuba tagih simpati rakyat pula,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana