‘KALAU YA PUN NAK MINUM ARAK, TAK PERLULAH BUAT PESTA’

Kalau hendak minum arak, minumlah tetapi tidak payahlah berpesta, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau merasakan kalau hendak berpesta dalam keadaan begitu, ia tidak menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda.

“Saya tidak bercakap pasal agama tetapi dari segi moralnya pun sudah tidak betul. Cuba bayangkan budak-budak muda tengok orang tua-tua tunggang-langgang.…

Pesta arak ini mulanya dengan ‘October Fest’ di Jerman…huru-hara. Adakah anda mahu ini berlaku di Malaysia? Saya tidak yakin orang Malaysia yang waras, yang setuju. Saya tidak cakap dari segi asas agama, tapi dari segi asas moral,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Katanya, janganlah hendak dipesta-pestakan perkara yang kurang baik dari segi moral.

“Dari segi dasarnya, kita tidak ada dasar melarang atau tidak…tapi saya bercakap dari segi moral. Tak usahlah kita berbuat sesuatu yang tidak seiring dengan moral dan juga budaya kita…cuba elakkan.

Siapa yang suka hendak minum arak, pergilah tempat yang sesuai, bukan secara di khalayak ramai, sebab bila dah mabuk macam-macam boleh berlaku,” katanya mengulas mengenai cadangan mengadakan pesta arak di galeri beli-belah Publika di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Mengenai Pasar Besar Seremban, beliau berkata kerajaan negeri telah membuat keputusan supaya semua kerosakan yang dialami dalam kebakaran baru-baru ini dibaiki segera.

“Kita telah minta Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menggunakan bajetnya sendiri dahulu sebelum kita menunggu keputusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“MPS sedang melihat dan meneliti anggaran kos untuk membaiki semula kerosakan pasar tersebut. Kalau boleh kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan ini disiapkan sebelum Tahun Baru Cina tahun depan,” katanya.

Tingkat satu bangunan pasar itu yang dibina pada 1975 musnah dalam kebakaran pada 9 September lepas. – Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana