‘UMNO TIDAK KAN LAGI ALU-ALUKAN MAHATHIR’

Jika Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditakdirkan menjadi pemimpin kanan parti Melayu itu pada pemilihan akan datang, peluang bekas presiden paling lama Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti itu semula tertutup rapat.

Katanya, barisan kepemimpinan dan ahli Umno tidak akan mengalu-alukan dan menjemput Mahathir sekalipun Datuk Seri Najib Razak sudah tidak menjadi perdana menteri pada masa depan.

“Kita tidak jemput beliau untuk sertai Umno (walaupun bukan Najib selaku Perdana Menteri) dan bukan senang untuk beliau menyertai semula kerana sudah berada dalam parti lain sekali gus menjadi musuh Umno.

“Malah, tiada kelebihan (kepada Dr Mahathir). Beliau keluar dan tubuh parti baharu dan hentam Umno dan rasa mahu masuk, beliau masuk. Umno bukan parti beliau,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Malah, menurut menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu, Dr Mahathir sejak kebelakangan ini menjadi musuh Umno kerana menyerang pentadbiran kerajaan, perdana menteri serta Umno.

Pada Jumaat, 28 Julai lalu, Mahathir mengulangi bahawa beliau tidak akan kembali menyertai Umno walaupun Najib sudah mengundurkan diri.

Menurut Mahathir, ini kerana beliau mendapati Umno kini sudah rosak teruk ekoran anggotanya didakwa lebih mengutamakan kepentingan diri serta perjuangan untuk ‘dedak’.

Malah, beliau turut berpendapat, parti keramat Melayu itu tidak lagi memperjuangkan agama, bangsa dan rakyat.

Sementara itu, Utusan juga memetik seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim mengingatkan Dr Mahathir yang disifatkan beliau sebagai kaki pusingan-U supaya berhati-hati dengan kenyataannya tidak mahu kembali kepada Umno.

Menurutnya, sebagai parti keramat orang Melayu, Umno menyimpan banyak sejarah pemimpin keluar tetapi apabila tersedar semula, mereka akan kembali dan perkara itu sudah menjadi resam parti.

“Kita tidak merayu Dr Mahathir untuk kembali pun. Umno terpelihara dengan kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan.

“Kita tidak akan membiarkan institusi presiden dihina mahupun digulingkan,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini pernah meninggalkan Umno pada 19 Mei 2008 kerana mendakwa hilang kepercayaan kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau sekali lagi melakukan tindakan sama pada 29 Februari 2016 sebagai tanda protes terhadap Najib dan mendakwa Umno adalah parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

Pada 1969, Mahathir pernah dipecat keahliannya daripada Umno kerana mengkritik pentadbiran perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.-Malaysiakini

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana