Suruhanjaya tolak campur tangan pihak tiada kaitan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, tidak akan membenarkan sebarang campur tangan atau pihak yang tiada kaitan dengan terma rujukan suruhanjaya itu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya hanya akan memfokuskan kepada terma rujukan, berikutan ada kekangan masa dan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menyiapkan siasatan dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan seperti yang ditetapkan, iaitu pada 13 Oktober ini.

"Pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk mendapatkan dan menerima bukti serta menjalankan pemeriksaan ke atas saksi," katanya.

Mohd Sidek berkata demikian dalam ucapan pembukaan prosiding hari pertama suruhanjaya siasatan itu yang dijalankan di Mahkamah Rayuan di sini, pagi tadi.

Sebelum itu, suruhanjaya menolak permohonan peguam pemerhati mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bantahan awal berhubung pelantikan Mohd Sidek dan seorang lagi anggota suruhanjaya, Tan Sri Saw Choo Boon.

Mohd Sidek berkata, suruhanjaya itu dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati bagi memulakan prosiding tanpa mendengar bantahan awal peguam.

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Anwar boleh diwakili dalam prosiding itu, bagaimanapun isu yang akan dibangkitkan adalah berdasarkan kepada terma rujukan suruhanjaya.

Terdahulu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memohon diberi peluang untuk mengemukakan permohonan bertulis berhubung bantahan awal itu atas alasan berat sebelah.

Katanya, ia berikutan Mohd Sidek sebelum ini adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menjalankan siasatan awal yang mana laporan akhirnya mendedahkan wujud kes prima facie dan siasatan kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) BNM, manakala Choo Boon adalah seorang daripada anggota PPK.

Peguam, R Sivarasa yang mewakili Anwar turut mengemukakan permohonan sama, memohon supaya peguam pemerhati diberikan peluang menyoal saksi secara aktif sepanjang tempoh prosiding.

Pegawai pengendali suruhanjaya, Datuk Suhaimi  Ibrahim berkata peguam pemerhati boleh mengemukakan permohonan kepada suruhanjaya jika hendak mengemukakan soalan atau berbuat demikian melalui pegawai pengendali yang dilantik secara rasmi untuk membantu prosiding.

Suruhanjaya kemudian menetapkan prosiding berlangsung selama 10 hari, bermula 21 Ogos ini.

PPK sebelum ini ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid bahawa bank pusat itu kerugian AS$10 bilion dalam tukaran wang asing pada 1990-an.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana