Suruhanjaya siasat kerugian forex bermula Hari Ini...JEng...Jeng

bermulanya prosiding pertama Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-An akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya.

Sudah pasti ramai yang tertunggu-tunggu apakah akan ada penemuan-penemuan menarik sepanjang prosiding tersebut.

Beberapa bekas pemimpin negara antara saksi penting yang akan memberi keterangan termasuklah Tun Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kali pertama trio tiga serangkai Mahathir, Daim dan Anwar dihimpunkan untuk memberi keterangan dalam satu siasatan kerugian wang negara.

"Prosiding bagi siasatan ini adalah terbuka kepada umum," demikian menurut notis pemberitahuan yang dikeluarkan setiausaha Suruhanjaya Siasatan Sabtu lalu.

Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Penubuhan suruhanjaya itu dan keanggotaan suruhanjaya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya dengan enam keanggotaan itu dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:


1. Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

2. Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

3. Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

4. Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

5. Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 18 Julai berkata suruhanjaya itu akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai tarikh kuat kuasa penubuhannya pada 15 Julai 2017 dan akan menyembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana