PEMBANGKANG CUBA TIPU RAKYAT TENTANG GST, 1MDB – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu pembangkang cuba menipu rakyat apabila menuduh kerajaan terpaksa melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ekoran kegagalan urus tadbir kerajaan dan masalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana menteri menegaskan tuduhan itu tidak berasas, kerana 160 buah negara lain turut melaksanakan GST termasuk negara-negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada.

“Malah, Arab Saudi, negara pengeluar minyak tertinggi turut memperkenalkan GST seperti negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya dalam catatan laman blog najibrazak.com mengenai tuduhan songsang pembangkang berhubung GST, hari ini.

Najib berkata tuduhan songsang itu adalah satu lagi percubaan meraih sokongan meskipun pembangkang memahami tujuan sebenar GST diperkenalkan, malahan mereka pernah berkali-kali menyatakan akan turut mengekalkan GST.

Perdana menteri berkata selama ini pendapatan negara banyak ditampung hasil minyak bagi memastikan perkhidmatan awam dan perkhidmatan asas dapat dinikmati rakyat.

“Namun, pada tahun 2014, harga minyak global mula menjunam, dan Malaysia turut terkesan. Keadaan ini menyebabkan hasil negara ketika itu berkurang sehingga lebih RM40 bilion, satu jumlah yang pasti menyebabkan banyak perkhidmatan terpaksa dihentikan,” kata Najib.

Menyedari bahawa kebergantungan hasil negara pada industri minyak tidak stabil, perdana menterii berkata GST diperlukan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan asas dapat diteruskan.

“Sehingga hari ini kualiti hidup rakyat masih terjaga kerana dibiayai GST. Hakikatnya tidak ada cukai yang popular tidak kiralah sebanyak mana pembangunan dan kemudahan yang wujud hasil cukai tersebut,” katanya.

Najib berkata kerana taksubnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan, beliau memaksa pemimpin pembangkang lain menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan GST walaupun mereka semua sedar yang tanpa sumber pendapatan menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.
“Namun Dr. Mahathir tidak kisah asalkan beliau dapat menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Najib berharap rakyat Malaysia menolak dakyah dan penipuan yang hanya bertujuan mengumpul sokongan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada negara dan masyarakat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana