MENJINAKKAN LAWAN POLITIK ADALAH LUMRAH BAGI MAHATHIR...GILER KUASA MACAM INI LAH

Lambat laun anggota Pakatan Harapan (PH) akan perlu berhadapan dengan realiti dan wajib mendepani isu kontroversi membabitkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak kira ia kalah atau menang Pilihanraya Umum (PRU14).

Jika menang, mungkin isu kesesuaian dan kebijaksanaan mengangkat bekas diktator itu lewat sedikit ditangani. Atau mungkin juga tidak akan sempat diuruskan kerana Mahathir pasti bersedia mempertahankan dirinya daripada menjadi sasaran kerabat PH.

Malah dalam kegirangan meraikan kemenangan, parti-parti seperti PKR, DAP dan Amanah mungkin “dilalaikan” Mahathir untuk “melihat ke hadapan” dan melupakan sebarang “kecurigaan” lampau.

Bagaimanapun jika PH gagal dalam PRU14, “pemugaran” dalam PH akan terpaksa dibuat dan barulah ketika itu kerabat PH akan menggodam segala pertahanan dan alasan Mahathir mahu menggabungkan diri dengan rancangan besar mereka menumbangkan kerajaan Umno-BN.

Ini bukan satu kebarangkalian. Sebaliknya, seperti yang digarap oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ia adalah satu kepastian kerana menganggap polemik seperti ini sebagai satu lumrah politik.

Beliau mengambil pendirian demikian sebagai meluruskan reaksi sebahagian penyokong pembangkang yang membantah tindakan PH melantik Mahathir selaku Pengerusi gabungan berkenaan.

Saifuddin berpendirian bahawa penyokong pembangkang perlu memahami tujuan penubuhan PH sebelum mengkritik keputusan pakatan itu bersabit struktur kepimpinannya yang diumumkan dua minggu lalu.

Beliau menegaskan dalam keadaan sekarang “tawaran atau alternatif politik yang cuba diajukan PH” adalah jauh lebih penting daripada ‘menoleh ke belakang dan bercakap tentang sejarah lampau’.

“Kalau kita bercakap tentang sejarah lampau, kita tak bergerak ke depan. Jadi saya takkan layan sebarang soalan berkaitan perkara lampau. Tumpuan sekarang adalah tawaran yang PH nak buat. Itu lebih penting,” katanya.

Tun M modal besar?

Dalam Forum “Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah” anjuran Kelab Bangsar Utama Selasa lalu ramai penyokong PH menzahirkan bantahan dan masih berbelah bahagi terhadap keputusan melantik Dr Mahathir Pengerusi PH.

Antaranya, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam yang mempertikaikan mengapa pembangkang perlu bergantung pada bekas perdana menteri itu untuk melakukan “revolusi mahupun perubahan”.

Pada 14 Julai lalu PH mengumumkan struktur parti itu yang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Saifuddin berkata, PH tidak mampu menghalang apa jua reaksi yang muncul daripada setiap keputusan politik yang dibuat oleh pakatan itu, tidak kira ia datang daripada kalangan dalam atau luar parti.

“Mereka (penyokong) bebas untuk membuat pilihan. Tapi kalau kita buat satu keputusan politik, melahirkan PH dengan struktur kepimpinan sebegitu, maknanya kita dah sedia bergerak ke depan. Itu lebih penting,” kata Saifuddin.

Bak api dalam sekam isu “memanfaatkan” penyertaan Dr Mahathir ini pasti akan sentiasa menghangatkan politik PH sebelum dan sesudah PRU14 kerana beliau adalah satu-satunya “modal besar” yang ada pada PH.

Rekod silam ‘ditelanjang’ jika PH kecundang

Sebenarnya Saifuddin memang memahami lumrah politik – di kala senang semuanya indah, tetapi bila dibadai masalah masing-masing akan membongkar semua kemungkinan untuk dijadikan alasan mengapa gagal.

Buat sementara ini PH akan mengutarakan pemikiran yang “muluk dan suci” Dr Mahathir dan cuba melindungi “sisi bengis dan kejamnya” ketika memerintah dan cuba memadamkan api reformasi suatu masa dahulu.

Kini pemimpin PH seperti Saifuddin, Johari Abdul, Lim Kit Siang, keluarga mendiang Karpal Singh akan berusaha menyimpan komen dan parut politik yang dilarik Mahathir 19 tahun lalu apabila beliau memecat dan mengaibkan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikian lumrah politik. Jangan hairan jika PH kecundang, Saifuddin akan ‘memimpin’ pula gerakan ‘menelanjangkan’ rekod zalim Mahathir yang pasti dianggap ketika itu sebagai ‘liabiliti’ politik.

Saifuddin ialah ahli politik. Begitu juga rakan-rakannya yang lain dalam PH. Meskipun kini tugasnya untuk menjaja “keelokkan” dan menjunjung “kehebatan firasat” politik Mahathir, semuanya akan berubah jika Mahathir dan PH gagal.

Namun beliau dan rakan-rakan seangkatannya haruslah akur bahawa menang atau kalah, Mahathir sudah pasti sedia melakarkan skrip politiknya sendiri untuk menghadapi reaksi yang ‘lumrah’ daripada PH yang kecewa.

Paling asas ialah persoalan, benarkah Mahathir sudah insaf dan berubah? Mampukah beliau menukar naluri dan deria politiknya selepas bergelumang dalam politik lebih enam dekad? Atau, Mahathir akan tetap Mahathir?

Mahkota kejayaan politik Mahathir ialah kemampuannya ‘menjinakkan’ lawan politiknya. Cubalah tanya Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan mungkin juga Anwar Ibrahim sendiri. Itu lumrah baginya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment