MAHFUZ DAKWA PAS KEDAH DAMBA KERJASAMA DENGAN PAKATAN?

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa beliau mendapat maklumat yang mengatakan bahawa PAS Kedah kini sedang mempertimbang untuk mendapatkan kebenaran dari PAS Pusat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

Memetik laporan sebuah portal yang mendakwa menerima maklumat tersebut, Mahfuz juga dikatakan turut menerima maklumat yang serupa dan menzahirkan rasa teruja untuk melihat kerjasama politik dengan DAP, PAN, PKR dan PPBM itu terjalin.

“Bagi saya ia satu pendekatan yang positif dan praktikal untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang ini,” kata bekas Ketua Penerangan PAS Pusat itu yang dipetik dari portal berkenaan.

Mahfuz sebelum ini cenderung menyebelahi Pakatan Harapan dan berkali-kali “menyerang” PAS secara terbuka melalui kenyataan-kenyataan media yang difahamkan telah menaikkan kemarahan penyokong dan pemimpin PAS.

Beberapa pucuk pimpinan PAS sebelum ini juga beberapa kali menunjukkan “jalan keluar” kepada Mahfuz supaya meninggalkan parti, namun Ahli Parlimen Pokok Sena itu enggan keluar dari parti berkenaan.

Selain Kedah, turut difahamkan bahawa dua lagi negeri yang mahu PAS Pusat membenarkan mereka bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti adalah Selangor dan Kelantan.

PAS Kedah walau bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan Mahfuz itu, namun Kedahnews.com akan cuba mendapatkan jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kedah di sini, pagi ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini berikrar untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU ke-14 nanti.

Berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan, Ahmad Fakhruddin juga menjelaskan pihaknya sedia menerima apa saja keputusan dan arahan dari pucuk pimpinan berkenaan hal tersebut.

Mahfuz pula sebelum ini menegaskan bahawa antara alasan beliau tidak keluar dari PAS adalah disebabkan pendiriannya yang mahu PAS menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk mendapatkan kuasa politik di negeri ini.

PAS kini kembali ke perjuangan asalnya dengan mengamalkan politik matang dan sejahtera yang berjuang untuk mencari redha Allah dan tidak meletakkan kemenangan politik sebagai perjuangan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana