MAHATHIR TAK PERNAH SENANG DENGAN SAYA, KATA ZAHID

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah senang dengannya dan tidak menjangkakan beliau akan dilantik sebagai ketua pemuda Umno pada tahun 1996.

Malah, katanya, beliau dipaksa menulis surat peletakan jawatan sebagai ketua pemuda Umno ketika ditahan oleh bekas perdana menteri itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998.

“Presiden Umno ketika itu tidak pernah senang hati dan tidak mahu saya jadi ketua pemuda. Maka sempatlah saya jadi ketua pemuda kira-kira dua tahun.

“Oleh kerana orang itu (Mahathir) tidak sukakan saya maka dicari jalan bagaimana untuk menerajang saya dari gelanggang ketua pemuda Umno.

“Maka pada tahun 1998 saya telah ditangkap di bawah ISA ketika itu, kerana kononnya berbeza prinsip,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Jerlun, Kedah, hari ini.

Semasa dalam tahanan kira-kira 11 hari itu, Ahamd Zahid berkata beliau dipaksa menulis surat peletakan jawatannya.

“Ketika dalam penjara ISA itulah pada tahun 1998, saya telah dipaksa letakkan jawatan sebagai ketua pemuda.

“Dan saya telah menulis surat pada kepimpinan ketika itu bahawa saya meletakkan jawatan apabila pihak polis datang ke sel tahanan saya dan minta surat peletakan jawatan itu untuk disampaikan kepada pemimpin Umno.

“Malam besok polis datang lagi, meminta supaya saya tulis surat satu lagi untuk mengesahkan peletakan jawatan saya itu dan memberitahu bahawa saya tidak dipaksa letak jawatan.

“Ertinya satu surat lagi dipaksa saya tulis menyatakan I am not under duress,” katanya.

Solat istikharah

Menurut Ahmad Zahid, memandang kepimpinan atasan Umno tidak lagi memerlukan khidmatnya atau menganggap dirinya sebagai satu masalah kepada parti, maka beliau dengan rela melepaskan jawatannya walaupun dalam keadaan terpaksa.

“Maka saya rela letak jawatan tanpa saya tubuh parti lain atau tikam Umno dari belakang, kerana saya tetap terus ikhlas dalam Umno,” katanya.

Selepas pembebasannya, Ahmad Zahid berkata beliau mengadakan sidang akhbar untuk secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Pemuda Umno, dan ramai yang memintanya meninggalkan Umno.

Mengakui dirinya dalam dilema ketika itu, Ahmad Zahid berkata beliau kemudiannya menunaikan solat istikharah selama lima hari untuk mendapatkan petunjuk sama ada untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti lain.

Beliau turut mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din.

“Lima malam, saya istikharah, lima malam kemudian saya istikharah juga di Masjidil Haram,
Umno atau PAS, Umno atau PAS?

“Jiwa saya tak pernah terdetik untuk tinggalkan Umno,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment