'Kutty': Zahid mangsa keganasan politik kebencian melampau

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung nama 'kutty' yang mengaitkan Tun Mahathir Mohamad bukan bermaksud satu penghinaan terhadap bekas Perdana Menteri.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan, kenyataan Zahid membawa maksud bahawa parti itu menerima sesiapa sahaja asalkan bumiputera Melayu, walaupun berbeza susur galur keturunan.

Malah, katanya, kenyataan tersebut juga memberi gambaran jelas bahawa pemimpin UMNO walaupun bukan berdarah Melayu, berpeluang memegang jawatan penting dalam parti termasuk jawatan Perdana Menteri sepertimana pernah disandang Mahathir sendiri.

"Malangnya kenyataan Zahid telah disalah erti oleh pihak berkepentingan dan ditularkan di media sosial seolah-olah beliau menghina Mahathir kerana berketurunan India (Keralla) dengan panggilan 'kutty'.

"Jika diamati dan difahami maksud yang tersirat di sebalik kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu ternyata tidak membawa sebarang maksud dan pengertian negatif atau berupa penghinaan terhadap Dr Mahathir.

"Dalam hal ini, masyarakat sewajarnya melihat secara positif dan tidak mudah terbawa-bawa dengan sentimen politik kebencian yang disemarakkan oleh parti pembangkang," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Tegas Syed Ali, Zahid tidak menghina Mahathir kerana hanya menyebut keturunan kutty daripada Keralla.

Tambah beliau, kenyataan Zahid secara terbuka di depan khalayak UMNO itu tidak menjuruskan kepada penghinaan atau mempertikaikan kewibawaan Mahathir walaupun berketurunan India selaku bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Lagipun, pemimpin dan ahli-ahli UMNO diwakili oleh pelbagai kelompok masyarakat dan latar belakang keturunan berbeza tetapi matlamat perjuangan adalah untuk kepentingan agama Islam, orang Melayu dan negara.

"Saya sendiri berketurunan Arab, nenek moyang saya darah Arab, tetapi saya lahir di sini dan saya bersama UMNO, saya berjuang untuk membela rakyat terutama orang Melayu," tegasnya.

Justeru, kata beliau, tidak timbul asal usul keturunan dalam UMNO dan ia bukan satu isu yang perlu dipersoalkan, malah apa yang disuarakan Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak membawa sebarang maksud jahat.

"Oleh sebab itu, saya tidak nampak di mana kesalahan Zahid apabila menyebut kutty yang mengaitkannya dengan Dr Mahathir," ujarnya.

Kata Syed Ali lagi, pembangkang sengaja memutarbelitkan kenyataan Zahid bagi membangkitkan kemarahan Dr Mahathir.

"Pembangkang seronok apabila Dr Mahathir mula bertindak balas dan menyerang Zahid serta UMNO, dan inilah yang telah berlaku bila sesama pemimpin Melayu bertelagah," tegasnya.

Beliau menyifatkan Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO sebagai menjadi mangsa keganasan politik kebencian melampau yang dilakukan pembangkang dan pihak berkepentingan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana