‘KENYATAAN TUN M SEJAK KEBELAKANGAN INI BANYAK BERCANGGAH’

Tun Dr Mahathir Mohamad perlu lebih menghormati Pas sesuai dengan kedudukan parti itu yang sudah lama bertapak dalam politik negara berbanding Bersatu yang baru setahun jagung.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Tun Mahathir juga perlu lebih konsisten di dalam menangani Pas supaya kenyataan beliau tidak menjadi bahan gelak ketawa masyarakat.

“Jika diteliti, kenyataan Tun sejak kebelakangan ini banyak bercanggah antara satu sama lain menyebabkan kita terfikir apakah beliau bercakap sesedap rasa sahaja tanpa didasarkan kepada pendirian dan strategi tertentu.

“Kenyataan terbaru beliau menggesa Pas tidak bertindak sebagai pengacau yang akan memecahkan sokongan pengundi Melayu supaya BN menang membayangkan beliau sedar kemampuan Pas untuk menafikan kemenangan Pakatan Harapan (Pakatan).

“Ini berbeza daripada kenyataan beliau sebelum ini, contohnya dalam sidang media beliau pada 30 April lalu, yang menyatakan keyakinan Pakatan masih boleh menang dalam PRU14 walaupun tanpa bekerjasama dengan Pas.

“Ia juga bercanggah dengan kenyataan mutakhir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, bahawa Pakatan akan memenangi PRU14, malah akan turut memenangi Pulau Pinang, Selangor, Johor, Perak dan Negeri Sembilan, walaupun tanpa Pas.

“Bila Tun Mahathir kembali menyeru Pas supaya bekerjasama dengan Pakatan untuk menumbangkan BN dalam PRU14, ini bermakna beliau sudah tidak yakin dengan kemampuan Pakatan untuk menang tanpa bantuan Pas,” katanya.

Kamarul Zaman diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Kampung Raja, Terengganu, malam kelmarin supaya Pas tidak jadi ‘pengacau’ ketika gabungan parti pimpinan beliau berusaha merampas pemerintahan negara.

Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia itu juga memberitahu, jika Tun Mahathir benar-benar berpandangan bahawa Pakatan tidak akan menang tanpa bantuan Pas, beliau seharusnya lebih berlunak dengan Pas supaya Pas lebih terbuka hati untuk bekerjasama.

Malah menurutnya, bagaimana Pas akan bekerjasama dengan Pakatan jika Tun Mahathir sendiri terus-terusan menghentam Pas dan pemimpinnya, termasuk paling baharu membuat kritikan ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam isu peristiwa Memali.

“Banyak pihak yang ragu-ragu dengan kemampuan Pakatan untuk mendapat sokongan daripada pengundi Melayu kerana pendirian sekular dan liberal parti-parti komponen Pakatan, terutamanya DAP, yang menakutkan mereka.

“Walaupun jika Tun Mahathir mampu menarik sebahagian pengundi Umno kepada Bersatu, tanpa sokongan pengundi Melayu dari Pas, Pakatan sukar menang di kerusi majoriti Melayu, dan kerusi majoriti Melayu adalah kerusi terbanyak di Parlimen.

“Sebagai sebuah parti lama, Pas mempunyai wibawa dan wawasannya sendiri, tetapi jika Tun Mahathir lebih berlunak dengan perjuangan Islam Pas kemungkinan untuk Pas bekerjasama dengan Pakatan Harapan masih ada, tetapi ini tidak berlaku,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana