Ini sejarah ciptaan Mukhriz...‘Menteri Besar ulang alik Alor Star-KL’

Silap haribulan ada yang boleh berlinang air mata membaca interbiu Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang disiar oleh sebuah portal berita pada hari ini,Isnin dimana beliau merengek bagaimana terpaksa lepaskan jawatan Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 2016.

Anak Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Naib Presiden PPBM dan salah seorang dari tiga Naib Presiden Pakatan Harapan kata percaya kerajaan BN boleh tumbang di Kedah jika beliau memilih guna kuasa terakhirnya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) waktu itu.

Dakwanya rasa sayangnya kepada UMNO dan BN menghalangnya daripada membubarkan DUN Kedah dan sebaliknya memilih melepaskan jawatan Menteri Besar yang disandangnya pada 6 Mei 2013 dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Betulkah BN yang ada 20 kerusi banding 16 di pihak pembangkang – PAS 8 kerusi,PKR 4,DAP 2 ,PAN 1 dan PPBM 1 boleh tumbang jika ada pilihanraya negeri seperti didakwa oleh Mukhriz?

Memang ada pemerhati yang mendakwa sentimen waktu itu agak menyebelahi Mukhriz kerana putaran dakyah berlegar kononnya beliau menjadi mangsa politiking dalam kemelut bapanya hendak menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa lagi Mukhriz sentiasa tampil dengan imej ‘budak baik’.

Macam kata orang Kedah…Kalau setakat nak sembang bunyi cakap Mukhriz memang meyakinkan.

Namun dalam medan pilihanraya negeri ada banyak lagi faktor yang menjadi penentu menang kalah.

Juga jangan lupa dari segi peraturan permohonan Menteri Besar untuk bubar DUN perlu mendapat perkenan Sultan.

Satu bab lagi yang belum terjawab apakah Sultan Kedah akan beri perkenan baginda untuk itu?

Mukhriz cuba lagi menarik simpati pada perletakan jawatannya dengan mendakwa ia atas paksaan Perdana Menteri.

“Amat jelas Najib dan kroninya memaksa saya letak jawatan. Tetapi pada masa itu sayang saya kepada UMNO dan BN sangat kuat, saya tidak sampai hati untuk lihat mereka kalah dengan teruk.

“Saya juga terfikir saya mungkin menjadi orang jahat yang menikam UMNO dari belakang. Jadi saya memutuskan untuk biarkan dan lihat apa yang berlaku,” katanya.

Walau bagaimanapun,kata Mukhriz sentimen hari ini telah berubah…yang secara jelas merujuk kepada hajat dan nawaitunya sekarang tidak lain dan tidak bukan nak tumbangkan BN.

Jika itu menjadi tekad Mukhriz beliau juga perlu mengintai sentimen terkini khususnya di Jerlun yang pernah menjadi UMNO Bahagian diketuainya dan amnya di Kedah.

Apa yang pasti semua 167 cawangan UMNO dalam bahagian itu kekal utuh.

Tidak ada satupun cawangan UMNO yang dibubarkan ekoran perletakan jawatan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Ketua UMNO bahagian itu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Abu Hasan Shariff  dalam ucapan sewaktu majlis perasmian mesyuarat perwakilan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi ,Jumaat lalu akuinya pada peringkat awal memang ada badai yang melanda.

Namun kini semuanya sudah berlalu dan mereka sudah siap siaga mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dan kawasan DUN di situ.

Selain Jerlun,Zahid merasmikan mesyuarat perwakilan tiga lagi UMNO Bahagian di Kedah pada Jumaat dan Sabtu lalu iaitu Merbok,Baling dan Alor Star.

Ada pemerhati yang tertawa mendengar dakwaan Mukhriz beliau tidak memilih membubarkan DUN sebelum letak jawatan Menteri Besar kerana begitu sayangkan UMNO dan BN.

Ini merujuk pada  ‘pendedahan’ yang dibuat oleh Zahid pada ucapan beliau semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Alor Star yang diketuai Ahmad Bashah pada Sabtu.

Zahid kata Ahmad Bashah bukan saja orang yang penyabar melihat orang lain (termasuk Mukhriz ) potongnya jadi Menteri Besar sekalipun sudah lama jadi ADUN dan Exco…tetapi seorang ‘Menteri Besar yang tinggal di Kedah’.

Mungkin ramai orang Kedah sendiri apa lagi orang luar tidak begitu tahu kisah ini.

Apa halnya dengan Menteri Besar yang tinggal di negeri sendiri.

Bukankah semua Menteri Besar negeri-negeri tinggal di negeri mereka.

Pelik bunyinya tetapi ini satu realiti dan sejarah…di Kedah sahaja.

Kalau rajin pasang telinga ia sudah menjadi gosip hangat di kalangan orang politik di Kedah semasa Mukhriz menjadi Menteri Besar.

Ini kerana beliau dilihat tidak menetap di Alor Star dan sering berulang alik ke rumah mewahnya di Kuala Lumpur.

Malah keluarganya juga dikatakan tidak mahu menetap di Alor Star.

Gara-gara itu ada jenaka yang tersebar pada waktu itu.

Kata mereka cuba periksa dengan syarikat-syarikat penerbangan laluan Alor Star – Kuala Lumpur dan sebaliknya untuk dapat kepastian berapa kali Mukhriz berulangalik dalam seminggu.

Keadaan ini dikatakan membuatkan ada orang politik di negeri itu yang merungut susah nak buat temu janji dengannya dan banyak program politik untuk rakyat dan parti sangkut.

Sebelum ini memang tiada siapa yang mahu bercakap hal ini secara terbuka.

Ahmad Bashah yang pernah ditanya wartawan mengenai gosip itu sendiri mengelak untuk menjawabnya.

Beliau seolah buat-buat tidak tahu dan hanya kata, ‘itu yang orang cakap’.

Namun dari nada yang Zahid cakap semasa berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Alor Star ia adalah satu hal yang serius dari sudut kredibiliti politik seorang pemimpin yang sepatutnya sedia berkhidmat dalam apa keadaan.

Timbalan Perdana Menteri berhak bercakap dan memberitahu hal ini kepada umum sebagai menjawab pelbagai tomahan yang dilempar terhadap pimpinan UMNO dalam isu Mukhriz di Kedah.

Siapa yang nak jawab bab seorang Menteri Besar tidak tinggal menetap di negeri yang ditabirnya.

Zahid secara berkias berkata, ‘tanya Ketua-Ketua UMNO Bahagian …saya ada saham yang boleh minta dividen dari Datuk Ahmad Bashah…beliau sebagai Menteri Besar Kedah, saya ada saham…kawan-kawan Ketua UMNO Bahagian tahu…Datuk Ahmad Bashah tahu..”

Timbalan Perdana Menteri lantas mengimbas kisah pertemuan yang diadakan di rumahnya dengan Ahmad Bashah dan Ketua-ketua UMNO Bahagian Kedah lain membincangkan mengenai gelagat Mukhriz yang tidak wajar itu.

“Kawan-kawan berunding dengan saya minta pandangan…lagu mana (macam mana) Menteri Besar yang ada dulu tu ( rujuk pada isu Mukhriz sebagai Menteri Besar tidak tinggal menetap di Alor Star).

“Bukan nak sentuh peribadi...( tetapi) Menteri Besar mesti duduk di negeri itu…bukan duduk tempat lain…mesti ambil kepedulian masalah masyarakat di negeri itu.

Tidak ada sejarah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang tidak duduk di negeri itu...tidak berumah tangga di situ…tidak ada…kecuali seorang saja (Mukhriz) dalam sejarah politik Malaysia.

‘Itu pun rakyat Kedah boleh terima…itupun rakyat Kedah boleh bertoleransi…tetapi janganlah ulangi kesilapan itu.

“Kedah harus dipimpin oleh anak Kedah yang duduk di Kedah,” kata Zahid.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan atas sebab itu pucuk pimpinan pilih Ahmad Bashah yang tinggal dan berkhidmat di Kedah sepenuh masa.

Juga semua orang tahu Ahmad Bashah ialah jenis orang politik yang boleh ketepi ketengah dan gebang di kedai kopi.

Sebagai orang politik, gelagat macam Mukhriz dikira memang kes berat.

Kata orang sebelum Mukhriz nak turun gelanggang kempen pilihanraya umum ke 14 nanti tabik dada berdegar sanggup berkhidmat sepenuh masa untuk rakyat dan negara…tentu ramai nak dengar apa beliau nak jawab pasal isu Menteri Besar ‘ulang-alik Alor Star-KL’ ini.

Ini pun belum masuk lagi pasal cakap-cakap tidak nampak ada yang istimewa di Kedah sepanjang lebih dua tahun jadi Menteri Besar.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana