PKR tetap tanding di Permatang Pauh, Wan Azizah 'jawab' PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu akan tetap bertanding di Parlimen Permatang Pauh sekaligus mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang meskipun PAS juga menyatakan hasrat yang sama.

"Pengundi Permatang Pauh akan terus memberi undi. Kita tunggu keputusan. PKR akan bertanding," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan Wan Azizah itu sebagai maklum balas selepas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertegas bahawa partinya tidak akan beri muka kepada PKR dan akan bertanding di kerusi Permatang Pauh.

Bukan sahaja kerusi panas itu, PAS juga menurut Mohd Amar turut bersedia meletakkan calon-calonnya di keseluruhan kerusi milik PKR, termasuk kawasan DAP yang berpotensi di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga menambah pendirian itu diambil selepas PKR dan PAS tidak lagi bertahaluf siyasi, dan terbuka sekiranya berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

PAS melakukan gerak awalnya pada Ahad minggu lalu apabila melancarkan jentera pilihan rayanya di Permatang Pauh meskipun sehingga kini belum ada lagi sebarang pengumuman rasmi bahawa parti itu akan bertanding merebut kerusi itu, termasuk tiga kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) di bawah parlimen berkenaan.

Untuk rekod PKR menguasai kerusi Permatang Pauh sejak Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 sehingga kini meskipun penyandangnya silih berganti antara Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment