PH TONJOL IMEJ ‘KEMELAYUAN’ UNTUK RAIH SOKONGAN PENGUNDI MELAYU – PENGANALISIS

Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba menonjolkan imej ‘kemelayuan’ apabila tidak menamakan pemimpin DAP untuk jawatan utama gabungan tersebut demi menambat hati pengundi Melayu dalam misi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata hal itu dapat disaksikan apabila tiada wakil DAP dalam barisan kepimpinan utama struktur gabungan tersebut yang secara rasmi diumumkan semalam.

“DAP bukan Lim Kit Siang sahaja. Itu agak mengejutkan pemimpin tidak diletakkan di atas. Kemungkinan saya mengagak bahawa keputusan itu adalah satu strategi politik yang sengaja dibuat sedemikian bagi membayangkan bahawa PH ini dipimpin oleh orang Melayu.

“Yang menjadi persoalan ialah bukan pengundi Cina kerana pengundi Cina pasti akan menyokong DAP. Jadi menjadi cabaran besar kepada PH ialah bagaimana mereka dapat menakluki menambat hati pengundi Melayu termasuk di kawasan Felda.

“Jadi langkah terbaik ialah dengan kemukakan pemimpin Melayu dan bina imej kemelayuannya supaya pengundi Melayu akan beri sokongan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Dalam struktur PH yang diumumkan tengah malam tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai Pengerusi PH dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum, jawatan yang sama disandang beliau dalam PKR.

Ketua Pembangkang yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.

DAP hanya diwakili Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai timbalan presiden PH, sementara Naib Presiden DAP dari Sarawak, Chong Chieng Jen, dinamakan sebagai Naib Presiden PH.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, bagaimanapun, tidak tersenarai dalam struktur kepimpinan PH yang baru itu.

Ketiadaan wakil DAP dalam tiga jawatan teratas gabungan itu sekaligus mengundang tanda tanya banyak pihak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mendakwa, senarai baru ini seolah-olah mahu mengaburi mata rakyat kononnya keputusan dalam PH tidak dipengaruhi DAP.

Dalam pada itu, Jeneri turut berpendapat keputusan meletakkan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH memperlihatkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai figura yang paling berkuasa dan berpengaruh.

“Jadi ini membayangkan bahawa mereka tidak yakin terhadap Wan Azizah dan pemimpin lain sehingga mereka perlu bersandar kepada pemimpin lama yang sudah berusia 90-an itu. Ini apa pun membayangkan memang terdapat masalah dari segi usaha untuk memilih siapa menjadi pemimpin untuk menggerakkan PH.

“Jadi mahu atau tidak mahu kita harus akui bahawa Tun M paling berkuasa sekarang dalam kalangan parti pembangkang. Sebagai pengerusi yang punyai pengalaman yang begitu luas dan dengan perwatakan dan peribadi beliau yang begitu sukar digugat maka saya jangka Tun M akan jadi lebih dominan dalam PH. Jadi mereka perlu akur pada pandangan Tun M. Kita tengok lah,” tambahnya.

Anwar sebelum ini pernah menyatakan kebimbangan terhadap penguasaan parti baru pimpinan Dr Mahathir dalam gabungan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat PKR sebelum ini, Anwar menyatakan bahawa beliau bersetuju sekiranya Dr Mahathir diberikan peranan penting dalam PH, namun menolak penguasaan PPBM dalam jawatan pengerusi dan presiden dalam gagasan itu.

Anwar yang sedang meringkuk dalam penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat itu turut bertegas menolak jawatan Pengerusi PH mempunyai kuasa pemutus sebaliknya hanya perlu diberi tugas-tugas menyelaras.

-sh-

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana