Pembangkang cuba cemar pemukiman MB Perak di Tanjung Malim

Usaha  pembangkang mencemar program Permukiman MB Perak yang kini berlangsung di Tanjung Malim dilihat gagal sebaik Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir mengambil pendirian tidak melayani kerenah  mereka.

Yang dimaksudkan ialah pendedahan dibuat oleh seorang pemimpin PKR konon seorang pegawai yang bertugas dengan Majlis Daerah di daerah Muallim menggunakan ijazah palsu untuk memperoleh pekerjaan.

PKR Perak secara rasmi memanggil satu sidang media pada 19 Julai mendedahkan kes terbaru ini.

Sidang media itu dibuat di ibu pejabat PKR Perak di Ipoh.  

Walaupun ia melibatkan tuduhan terhadap seorang pegawai namun jentera kerajaan serta kakitangan awam yang hadir dalam program permukiman hadir seperti biasa. Contoh dalam program bersama penjawat awam pada Selasa, yang dibuat secara santai, dengan dihadiri Dr.Zambry sendiri, 500 orang hadir.

Yang penting di sini ialah program permukiman dimana masalah rakyat diberi perhatian bukannya dakwaan salah laku atau dakwaan dan kerenah pembangkang. Lantas kerenah PKR itu dijawab Menteri Besar dengan menyerahkan perkara ini untuk siasatan pihak polis. Maknanya kerajaan tidak pejam mata seperti dianggap pembangkang.

PKR Perak meminta kerajaan negeri turut menyiasat pelantikan jawatan pegawai di agensi kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan sijil akademik palsu.

Naib Pengerusinya, Chang Lih Kang berkata pihaknya mengenal pasti individu berkenaan--beliau merupakan pegawai di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Kata ADUN Teja itu lagi, mereka sudah menyiasat secara terperinci dan mendapati ia adalah sijil-sijil palsu.

Pegawai berkenaan menggunakan sijil dari universiti yang  tidak menawarkan sebarang kursus seperti didakwa.

PKR Perak juga telah membuat laporan polis berasaskan Seksyen 468 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda dan penjara sehingga tujuh tahun.

Pendedahan pembangkang berkisar isu sijil palsu turut dibuat Ong Kian Ming (DAP-Serdang) di Parlimen pada 3 April lalu—konon terdapat ahli parlimen menggunakan kelayakan akademik palsu.

Beliau dipetik berkata terdapat YB dalam dewan “mempunyai ijazah palsu, bukan saja PhD, juga di tahap sarjana.” Beliau tidak menamakan wakil rakyat yang dimaksudkan itu.

Walaupun pembangkang nampak mengambil berat isu-isu seperti isu sijil akademik palsu namun bila melibatkan puak mereka,seperti dalam kes ADUN mereka di Sarawak memiliki kerakyatan Australia, mereka membisu.

Sikap Menteri Besar enggan layan kerenah PKR itu dilihat amat tepat kerana yang penting ialah program permukiman. Masalah rakyat harus didahului berbanding agenda politik dan agenda peribadi pembangkang.

Bukankah rakyat khusus penduduk di Tanjung Malim terpaksa menunggu hampir setahun bagi membolehkan mereka hadir dan berinteraksi dengan Menteri Besar serta para pegawai kanan. Peluang ini tentu tidak mahu dibiar berlalu semata-mata kerana agenda pembangkang.

Dan kerajaan negeri sendiri menunggu laporan polis serta membiarkan proses siasatan terhadap pegawai berkenaan—bukankah konsep selagi tidak didapati bersalah (dalam hal ini oleh mahkamah), seseorang itu dilihat tidak bersalah.

Dr Zambry ketika mengulas isu sama menasihatkan  Chang Lih Kang supaya tidak hanya fokas mendedahkan sijil akademik pegawai kerajaan—beliau juga perlu siasat penggunaan sijil akademik palsu di kalangan pemimpin pembangkang sama.

“Ia pernah berlaku sebelum ini... siasatlah sama. Buatlah pendedahan dan laporan polis,”katanya  dalam sidang media selepas majlis makan tengahari bersama peneroka Felda Sungai Behrang pada Rabu.

Dalam isu pegawai yang didakwa itu  Dr Zambry berkata kerajaan negeri memandang serius hal ini.

“Sijil palsu ini bukan hanya melibatkan pegawai tertentu, pembangkang pun pernah wujud dulu, suatu ketika dahulu bising di Perak ada ADUN-ADUN tertentu yang menggunakan ada ijazah itulah, ijazah inilah.

“Tidak perlulah saya sebut ADUN mana, tapi ADUN pembangkanglah, apabila orang periksa daripada universiti manapun, orang tidak tahu.

“Jadi eloklah juga saya syorkan kepada Chang Lih Kang, sementara dia tengok masalah pegawai-pegawai, elok jugalah tengok di kalangan ADUN-ADUN pembangkang,” katanya.

Secara sinis, Menteri Besar meminta Naib Pengerusi PKR negeri itu turut sama menasihatkan rakan-rakan pembangkang mereka “ ...sekiranya masih ada lagi yang menggunakan sijil-sijil universiti yang tidak diketahui daripada mana.”

“Di sini bukan bermakna saya hendak pertahankan pegawai yang berkenaan, paling penting kita nak tahu kebenaran kerana saya dimaklumkan dia juga mempunyai ijazah daripada UiTM. Ketika mula diambil bekerja dia menggunakan ijazah yang mana, itu cukup penting, samada universiti yang berkenaan palsu juga perlu disiasat,” kata Dr.Zambry.

Walaupun tidak salah untuk menyebut isu sijil akademik palsu dan isu rabies (anjing gila) membayangi permukiman di Tanjung Malim, ada sebab untuk Menteri Besar teruja dalam program kali ini—orang ramai sentiasa memenuhi tapak program.

Bahkan secara terbuka beliau mengatakan kegembiraan ketika berada di Kampung Kuala Slim menyaksikan sendiri keadaan kampong berkenaan yang begitu nyaman dan teratur.

Kepada media yang membuat liputan, jika ada penganugerahan hadiah tertinggi mengambil kira program-peogram permukiman di Perak, Tanjung  Malim mungkin mendahului dengan muncul juara.

Ia nyata berlainan dari permukiman seperti di Gerik, Taiping,Teluk Intan dan sebagainya.

Di sini, terasa ada kelainan sehingga Menteri Besar sendiri merasa terhibor dan teruja melihat persekitarannya.

Pada Rabu juga berlangsung majlis hari penilaian anugerah desa peringkat kebangsaan 2017 berlangsung di perkarangan dewan orang ramai Kg Kuala Slim.

Untuk rekod, kampung ini muncul menjadi kampong mentor 2016 mewakili Perak dalam pertandingan anugerah desa perdana peringkat kebangsaan 2017.

Ketika menghadiri majlis hari penilaian anugerah desa perdana peringkat kebangsaan tahun 2017 di pekarangan dewan orang ramai kampung berkenaan,

Menteri Besar dalam ucapan berkata, penduduk Kg Kuala Slim sangat unik bukan sahaja kerana hidup dalam suasana aman dan bersatu, walaupun mempunyai pelbagai kaum, Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Katanya Kampung Kuala Slim ini sangat unik kerana ada lagu dan logo di samping menerima beberapa pengiktirafan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain dari itu  perusahaan cendawan, ternakan kambing dan tanaman limau turut mengharumkan nama kampong ini.

Lagu yang dimaksudkan Menteri Besar itu diciptakan khas untuk kegunaan penduduk kampong ini oleh Yuslizam Yunos, 35 tahun.

Beliau yang juga anak jati kampong dan kini bertugas di luar Perak  berkata lagu itu diciptanya pada tahun 2015. Ia mengambarkan identiti dan aktiviti kampung berkenaan.

Katanya,”asalnya ia hanya untuk program muzikal sempena bulan budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi selepas berbincang dengan JKKK, kita jadikan lagu kampung..”

Terdahulu  Menteri Besar mengambil kesempatan hadir bersarapan dengan penduduk Kg Kuala Slim—beliau habiskan 45 minit berinteraksi dengan penduduk.

Beliau disertai beberapa Exco kerajaan negeri seperti Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Rusnah Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Pegawai Daerah Muallim, Norsham Rahman.

Ketika melawat dan turut bersama-sama dalam Majlis Teras Kesejahteraan Rakyat dan Sambutan Aidilfitri 2017 Felda Sungai Behrang bersama Menteri Besar di Dewan Semai Bakti, disusuli dengan sidang media, Menteri Besar berkata penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Slim Village di Kampung Sawa boleh meminimakan masalah yang dihadapi  warga emas di Perak.

Beliau memuji konsep dan penubuhan PAWE yang dianggapnya sebagai satu idea kreatif. Pelbagai  aktiviti menarik buat warga emas disediakan. Serentan dengan itu beliau turut merasmikan bangunan PAWE ketiga di Kampung Sawa Slim Village.

“Saya anggap idea bagi mewujudkan PAWE ini kreatif dan diharapkan ia dapat dilaksanakan di setiap daerah kerana penubuhan pusat ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Kita sering bercerita mengenai keperluan warga muda yang memerlukan prasarana seperti pusat sukan dan sebagainya namun ada kalanya kita melupakan keperluan warga emas kerana perkembangan pendidikan dan kesihatan semakin baik maka banyak generasi warga emas yang berusia 70 keatas masih tinggal di kampung-kampung yang memerlukan aktiviti yang bersesuaian untuk mereka,” katanya

Sementata itu Menteri Besar gembira pengangerahan ribuan ekar tanah ladang pertanian kepada beberapa agensi kerajaan negeri  sejak empat tahun lalu berjaya mencapai objektifnya.

Katanya agensi yang menerima seperti Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Yayasan Perak dan Sekolah Tamil, menggunakan hasil pulangan membantu dari segi pembangunan sektor masing-masing

Katanya sebagai contoh  MAIPk mewakafkan tanah itu  bagi menguruskan saraan masjid-masjid dalam negeri ini begitu juga dengan sekolah-sekolah Tamil.

Dr.Zambry berpuas hati prestasi mereka bahkan menafikan projek yang dibuat itu terbengkalai. Beliau turut mengadakan lawatan ke ladang MAIPk di Sungkai.

Beliau meluahkan rasa keciwa kerana isu pengurusan tanah pertanian sawit itu terlalu dijadikan bahan politik sehingga tidak diberikan fokus yang baik kepada manfaatnya.

Program pada Rabu juga memberi ruang kepada masyarakat Mandailing di Tanjung Malim (dan diseluruh negeri) memperaga kebudayaan dan adat resam mereka.

Menteri Besar hadir dan  berucap sempena Festival Mandailing di Kampung Sungai Bil.Kira-kira 400 orang hadir.

Dalam  ucapan, Dr.Zambry memberi jaminan kerajaan tidak meminggir kebudayaan mana-mana etnik. Usaha  memperkayakan serta mengangkat keunikan kepelbagaian budaya  di negeri Perak tetap diteruskan.

Katanya jika kepelbagaian budaya dirai dan diketengahkan, ia diyakini mampu memantapkan perpaduan masyarakat yang menjadi tunjang kepada kemajuan dan keamanan Perak.

“Jangan kita matikan budaya-budaya yang ada walaupun ianya merupakan budaya daripada sekelompok yang kecil kerana mereka juga sebahagian daripada kita. Di dalam Al-Quran juga ada mengingatkan,Tuhan menjadikan kelompok keturunan tujuannya adalah untuk kita saling mengenali dan hormat menghormati.

“Janganlah pula kita jadikan kelainan budaya sebagai alasan untuk bergaduh sesama sendiri. Kita seharusnya sama-sama meraikan perbezaan itu dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan ini,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana