‘MINTA MAAF’: SKRIP PLOT LAMA MUNCUL KEMBALI

Akhirnya, skrip yang ditunggu-tunggu penulis terbit sudah dari mulut bekas Perdana Menteri itu. Skrip yang sama pernah dikeluarkan terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hari ini, skrip itu jugalah dia putarkan. Dia kononnya meminta maaf kerana menyokong supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sebelum ini. Seperti biasa, dia kononnya “tertipu”…

Persoalannya, siapa tipu siapa? Siapa yang menipu dan siapa yang tertipu sebenarnya?

Difahamkan sudah berkali-kali dilapor padanya tentang ‘kisah gelap’ Anwar, tapi kenapa dia mengambil masa yang lama untuk percaya? Selepas Anwar gugat kerusi Perdana Menteri yang dia duduk, baru dia mahu percaya pada ‘kisah gelap’ Anwar itu?

Pada pandangan penulis, dia hanya berpura-pura meminta maaf tentang Anwar. Dialah yang membawa masuk Anwar, dialah yang mendidik Anwar, dialah yang buat Anwar ‘kebal’, dialah juga yang restu Anwar ‘pijak kepala’ ramai pejuang-pejuang UMNO yang lebih berjasa kepada perjuangan parti ketika itu.

Permohonan maaf padanya hanyalah sekadar retorik politik untuk menjustifikasikan keadaannya untuk terus membenam karier politik Anwar ketika itu.

Dan begitu juga senarionya dengan Pak Lah. Dia konon memberi alasan melantik Pak Lah sebagai penggantinya kerana imej ‘Mr. Clean’. Padahal, dari awal lagi dia tahu tentang karekter Pak Lah yang lemah politik dan mudah dijatuhkan.

Kemudian dia minta maaf kerana lantik Pak Lah sebagai pengganti kerana dikaburi imej ‘Mr Clean’? Kenapa dia tidak berterus terang bahawa tindakannya itu adalah ia adalah antara sebahagian dari plot ‘master plan’ meneruskan legasi politik peribadinya?

Kini giliran Najib pula? Dia fikir mudah untuk jatuhkan Najib dari dalam UMNO. Bila gagal, dia pakai skrip lama untuk keluar parti. Memandangkan seluruh warga UMNO tetap setia pada Presiden Parti, dia sedar dia tewas dan egonya tercabar.

Dia tubuhkan parti baru, padahal jika benar dia mahu satukan semua pembangkang, dia boleh sertai PKR, PAN mahupun DAP, dan kemudian satukan semua parti itu tanpa melibatkan terlalu banyak komponen yang bakal memeningkan kepala.

Tapi kenapa dia pilih untuk tubuh parti baru? Kerana jawatan, bukan? Jika dia tidak tubuhkan parti baru, masakan dia dan anaknya dapat menjawat jawatan tertinggi dalam parti? Jika masuk PKR, dia boleh jadi pemimpin tertinggi PKR?

Pada hemat penulis, mungkin dia boleh tipu budak-budak muda yang tolol politik, tapi tidak pada kami yang dewasa di zaman dia mentadbir dan pernah mengikuti rapat secara langsung menganalisis gerakan-gerakan catur politiknya.

Dia tidak akan mudah meminta maaf selagi permohonan maaf itu tidak menguntungkan diri dan kepentingan politiknya. Itu adalah salah satu strategi politik lamanya yang mudah dibaca. Malangnya, kami tidak akan tertipu lagi kali ini.

Maaflah, kami tidak ‘kanyaq’ seperti budak-budak Armada. Kami juga tidak ‘bebal’ seperti mereka yang mudah terpengaruh dengan ketaksuban pada individu. Kami punya akal untuk berfikir dan yang pasti, kami takkan tertipu lagi dengan percaturan warga emas itu…

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana