MENGAPA UMNO MAHU DITUMBANGKAN?

MENGAPA pembangkang benar-benar mahu menjatuhkan UMNO yang membentuk kerajaan hari ini? Saya katakan ‘benar-benar” kerana mereka begitu nekad mempergunakan apa saja kaedah, sekalipun dengan cara yang memalukan, iaitu bersatu dengan musuh mereka.

Mari kita renungkan.

Umno bukanlah apa-apa. Ia hanyalah sebuah parti.  Yang membentuk dan menggerakkannya adalah pemimpin-pemimpinnya. Jika pemimpin-pemimpinnya menyeleweng, menyalahgunakan kuasa atau melakukan penindasan ke atas rakyat, merekalah yang harus dikritik dan ditentang.

Ya, saya tahu, untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin korup ini adalah dengan menjatuhkan parti mereka.

Secara idealnya, begitulah.

Hari ini kita melihat Tun Dr Mahathir, yang pernah dituduh dengan bermacam-macam tuduhan yang dahsyat seperti mahafiraun atau mahazalim, telah diterima sebagai rakan kongsi untuk menjatuhkan peneraju (Presiden) UMNO yang baru.

Maka, apa yang sebenarnya pembangkang ini mahu perjuangkan?

Jika benar pembangkang berjuang untuk rakyat dan negara, mereka seharusnya tidak bersama bekas Perdana Menteri yang selama 22 tahun mereka tuduh sebagai zalim.

Keadaannya adalah berbeza jika pihak pembangkang mengakui bahawa dahulunya mereka tersilap membuat dakwaan itu. Sebaliknya mereka tidak pernah berkata begitu.

Tun Dr Mahathir juga tidak mengakui beliau tersilap selama ini atas dakwaan-dakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan tokoh-tokoh pembangkang yang lain.

Jadi, apa yang mereka lawan adalah UMNO, bukannya individu yang menerajuinya. Sesiapa pun yang menjadi presiden dan Perdana Menteri, individu itulah yang akan ditentang. Dan penentangan ini bukanlah bersifat individu, tetapi kerana parti.

Apa salahnya dengan UMNO? Mereka tidak menentang secara langsung dasar-dasar UMNO. Mereka tidak mempertikaikan apa yang salahnya dengan dasar-dasar UMNO.

Maka, apakah sebab-sebabnya UMNO ditentang?

Kepada pembangkang Melayu, tentulah mereka  bukan berjuang untuk orang-orang Melayu. Jika kerana perjuangan orang-orang Melayu, sudah tentu mereka tidak akan menerima DAP yang jelas mahu menghapuskan hak-hak orang Melayu melalui prinsip hak sama rata.

Adalah bodoh untuk terus berdebat perkara ini kerana sudah jelas pembangkang Melayu ini tidak lagi berprinsip dalam soal ini.

Pembangkang Melayu tidak perlulah menggunakan hujah bahawa kerajaan adalah zalim kerana bergabung dengan pembangkang bukan Islam bukanlah mendatangkan kebaikan, malah membawa kemudaratan. Mereka hanyalah individu-individu yang kecewa dan gagal mendapat tempat dalam barisan parti pemerintah. Anda boleh melihatnya sendiri. Sebagai contoh mudah. siapa Datuk Seri Anwar sebelum ini?

Mereka inilah yang sanggup menggadaikan apa sahaja kepada orang-orang bukan Islam untuk mendapatkan kuasa. Sekadar beberapa contoh, di mana pendirian mereka ketika isu Kalimah Allah, LGBT, pluralisme, sekularisme dan liberalisme timbul? Bahkan anda sendiri melihat merekalah yang bersama puak-puak ini kerana mahu meraih sokongan politik.

Saya akan bercakap secara objektif dan perkara realiti, apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Katakanlah kerajaan UMNO hari ini ditumbangkan pada PRU yang akan datang, apa sebenarnya yang akan berlaku?

Marilah kita bayangkan seandainya kerajaan baru pembangkang ini mentadbir negara dengan lebih baik.

Jika benar begitu, ia samalah anda diberikan sebiji gula-gula. Mereka berikan anda gula-gula, tetapi mereka yang memiliki kedainya.  Anda dibiarkan hidup mewah dan bebas, tetapi negara nenek-moyang anda ini akan disekularkan dengan pemerintahan baru yang diketuai DAP ini.

Anda bebas keluar agama Islam, LGBT akan dibenarkan, bebas bersekududukan kerana ia adalah hak peribadi individu bagi mereka, pelacuran pun akan diterima sah, dan pelbagai lagi yang selama ini dihalang oleh kerajaan sedia ada. Banyak lagi yang akan berlaku, dan saya sebutkan sedikit sahaja contoh yang mudah anda faham dan renung.

Mungkin anda tidak percaya semua ini, tetapi inilah yang mahu diperjuangkan oleh pemimpin dan tokoh-tokoh bukan Islam yang menentang kerajaan hari ini.

Jadi, apa sebenarnya anda dapat? Bukankah itu bermakna anda telah menggadai akhirat dengan kesenangan duniawi? Anda mendakwa hidup anda ditindas, dan anda menggadaikan agama anda dengan menyokong puak yang jelas menentang Islam, dengan harapan kehidupan duniawi anda berubah menjadi baik jika diperintah oleh mereka.

Itu pun jika kerajaan pembangkang ini benar-benar memerintah tanpa rasuah, penindasan atau penyelewengan kuasa.

Seperti yang anda tahu, orang-orang bukan Islam, terutama kaum Cina, sentiasa bersatu dalam berpihak kepada sesebuah parti politik. Suatu masa dahulu mereka bersatu menyokong MCA dan MIC yang menjadi parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional.

Tetapi dalam dua pilihanraya yang lepas, majoriti mereka menyebelahi pakatan pembangkang. Buktinya jelas, iaitu dengan tumbangnya MCA. Mereka beralih kepada DAP, PKR dan PAS.

Masyarakat yang pragmatis akan menyokong parti yang akan memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka. Ini adalah perkara biasa, dan adalah tindakan bodoh jika ia berlaku sebaliknya.

Nampaknya hari ini mereka menyebelahi pembangkang. Kita adalah bodoh jika mempercayai mereka menyokong pembangkang kerana kerajaan korup atau menzalimi mereka. Ia bukan sekadar perkara itu, ia adalah soal masa depan mereka. Jika dahulu mereka mendapat kelebihan di bawah kerajaan Barisan Nasional, kali ini mereka merasakan pembangkang adalah lebih baik kepada mereka.

Jadi, sepatutnya anda nampak bahawa pakatan pembangkang hari ini, yang diketuai oleh DAP, mahu menggulingkan kerajaan adalah kerana mahu menamatkan penguasaan politik orang-orang Melayu dan seterusnya mengubah negara ini selaras dengan cita-cita sekularisme, liberalisme, pluralisme mereka.

Mereka sudah memiliki kekayaan dan apa yang belum mereka miliki adalah kuasa politik untuk mengubah negara ini.

Secara logik yang mudah pun, kita sepatutnya tahu bahawa apabila sesebuah pakatan parti itu disokong oleh majoriti orang-orang bukan Islam, ia tentulah bertentangan dengan kepentingan orang-orang Islam. Maksudnya, jika pakatan itu memberi kelebihan kepada orang-orang Islam, sudah pastilah ia merugikan orang-orang bukan Islam dan sudah pasti juga tidak akan disokong oleh orang-orang bukan Islam, kerana Islam dan bukan Islam itu adalah bertentangan haluannya.

Anda akhirnya hanya dijadikan alat untuk meruntuhkan kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang Melayu, sedangkan hasil perjuangan anda itu dinikmati orang bangsa lain.

Mereka, dengan menggunakan tokoh-tokoh politik Melayu yang desperado (anda boleh melihat sendiri muka-muka pembangkang melayu ini), yang membawa isu-isu rakyat, sebenarnya telah memanipulasi anda untuk menguasai politik negara ini. Ia tidak akan berjaya jika UMNO tidak ditumbangkan.

Kepada ahli politik yang gilakan kemasyhuran, mereka letakkan pada jawatan tertinggi, kepada yang gilakan kekayaan, mereka berikan jawatan besar, dan kepada diri mereka sendiri, mereka adalah pencatur sebenar.

Dan anda sebagai rakyat biasa hanya dijadikan bidak-bidak catur untuk menjayakan agenda peribadi mereka.

Jadi, anda sepatutnya tahu kenapa UMNO mahu dijatuhkan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana