Kawasan hitam... Luahan hati Ketua UMNO Batu Gajah...Tak Payah Kubu Kuat PEmbangkang Abaikan Saja
Mereka yang memilih DAP....terima lah saja lah...Cakna yang kawasan yang beri undi kepada Barisan Nasional saja.Undi Pembangkang....Kawasan ini BN akan bantu jugak.Baik tak payah.
Pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional diminta `tenung’ ke bawah mendengar sama suara hati rakyat di kawasan Parlimen Batu Gajah yang dianggap sebagai kawasan hitam kerana mereka diumpama dipinggirkan daripada menikmati kemudahan pembangunan.
Sejak dua penggal lalu setiap kali permohonan dibuat untuk faedah masyarakat kampung tidak kira untuk orang Melayu, India dan Cina, permohonan mereka ditolak atas alasan Parlimen Batu Gajah dikuasai pembangkang.
Dengan demikian kata Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim ahli-ahli UMNO di 38 cawangan tidak berpeluang menikmati faedah pembangunan berbanding mereka dalam Parlimen yang dikuasai BN.
"Suara hati rakyat di kampung yang meminta dewan susah nak dapat... saya pernah hendak buat dewan tak dapat alasannya habiskan beras kerana kawasan hitam…jadi sampai sekarang yang kita nak bantuan bina dewan orang Melayu tak ada dewan kerana parlimen hitam.
"Pada pendapat saya sebagai Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, walaupun kawasan itu hitam ke, putih ke, faedah pembangunan yang disalurkan itu biarlah diagihkan sama rata.
"Kami harap pucuk pimpinan janganlah kadang-kadang kita anggap membantu kawasan hitam ini macam habiskan beras aje, bukan nak habiskan beras, UMNO di sini nak makan juga," katanya kepada Agendaily.
Datuk Mohd Yussof seterusnya berkata, UMNO Bahagian Batu Gajah sejak dulu sehingga ke hari ini sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama jitu kepada calon-calon MCA bertanding baik kerusi Parlimen Batu Gajah mahupun kerusi DUN Tronoh.
"Kami UMNO di kawasan hitam ini, kami bukan berdiam diri, kami sentiasa menyokong parti MCA, kami berjuang kerana kami faham Barisan Nasional merupakan tonggak kita dalam semua parti.
"Kami nak pastikan tiga kerusi yang ditandingi MCA pada PRU ke-14 nanti mendapat sokongan besar,’’katanya.
Mohd Yusoff meminta pucuk pimpinan tidak terus membiarkan atau meminggirkan kawasan parlimen yang dianggap hitam itu kerana dibimbangi sokongan rakyat terhadap BN akan menurun.
Beliau memberikan contoh bagaimana Parlimen Teluk Intan yang juga dianggap kawasan hitam mendapat faedah pembangunan yang sama rata dan akhirnya berjaya ditawan semula BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.
"Kami UMNO dalam Parlimen Batu Gajah ini kalau tidak mendapat saluran faedah pembangunan macam mana kami hendak membantu mereka (MCA) mendapat sokongan besar.
"Kita boleh ambil balik kerusi yang dikuasi DAP ini kerana suatu hari nanti pengundi Cina akan bagi undi mereka kepada BN sepertimana yang berlaku pada PRK Teluk Intan, jadi jangan pinggirkan kawasan hitam ini,’’ ujarnya.
Menurut Datuk Mohd Yusoff Kassim, sebagai Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, UMNO sentiasa menabur khidmat baktinya membantu masyarakat Cina termasuk menyediakan keperluan tokong Cina dan kemudahan sekolah-sekolah.
Beliau optimis senario keberantakan dan kecelaruan dalam pakatan harapan dijangka memberi kelebihan kepada BN untuk merampas kembali kerusi yang dikuasai pembangkang pada PRU ke-14 nanti.
Yusoff berkata, rakyat khususnya pengundi-pengundi di Parlimen Batu Gajah dijangka beralih angin kepada BN pada PRu Ke-14 nanti kerana wakil-wakil rakyat pembangkang tidak berbuat apa-apa untuk membantu nasib rakyat.
Katanya, wakil rakyat pembangkang hanya suka berpolitik sepanjang masa tanpa membawa apa-apa perubahan dan pembangunan untuk pengundi mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Bajah yang berlansung semalam mengambil ketetapan meluluskan usul menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan Negara.
"Kita juga melulus usul menolak campurtangan orang luar dalam urusan pentadbiran Negara,’’ katanya.-26/7/2017
Untuk Rekod P.066 : BATU GAJAH
Loo Thin Tuck (BN) - 15,304
V Sivakumar (DAP) - 53,900
Majoriti - 38,596
N.32 : Menglembu
Loo Gar Yen (BN) - 3,895
Lim Pek Har (DAP) - 20,694
Majoriti - 16,799
N.33 : Tronoh
Yip Sze Choy (BN) - 7,052
Yong Choo Kiong (DAP) - 13,243
Comments