Jangan terus tertipu dengan DAP, kata TPM kepada pengundi Cina

BANDAR HILIR: Pengundi masyarakat Cina perlu berhenti daripada terus menjadi mangsa penipuan DAP yang gagal menunaikan janji yang ditabur mereka kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, itu berkata pada pilihan  raya  umum ke-12 (PRU12) dan PRU13, DAP telah mencanangkan bahawa mereka mampu membela rakyat namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

“Sudah dua kali (PRU) mereka (DAP) buat demikian, mereka boleh berkokok tetapi bila (rakyat) beri kuasa di Pulau Pinang mereka tidak boleh jadi baik daripada kerajaan (Barisan Nasional) yang terdahulu.

“Saya seru kepada pengundi Cina, cukup-cukuplah ditipu DAP, PRU14 nanti patah baliklah kepada Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di Bandar Hilir di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Umno Bahagian Kota Melaka Datuk Latiff Tamby Chik dan lebih 1,000 perwakilan bahagian itu.

Memetik laporan sebuah agensi portal berita, Ahmad Zahid berkata bagi mendapatkan kembali kepercayaan pengundi Cina pada PRU14, BN terutama parti komponen MCA dan Gerakan perlu bekerja keras bagi membuktikan bahawa BN mampu membela nasib pengundi masyarakat itu.

Beliau berkata segala cabaran dan tentangan daripada pembangkang perlu dipatahkan, malah BN perlu terus bekerja keras daripada sekarang bagi menghadapi PRU14 bagi mengelakkan parti itu “dijadikan sejarah” oleh rakyat.

“Saya yakin dengan usaha keras ini kita mampu merampas semula kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang sejak 2013.

“Pada PRU lepas, pihak pembangkang telah memberi cabaran besar kepada kita lebih-lebih lagi dalam menarik sokongan pengundi namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat anggota BN untuk bangun meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar anggota Umno jangan menyerah kalah sekiranya tidak mengecapi kejayaan dan terus berjuang bagi menarik sokongan pengundi.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan gerak kerja dalam menghadapi PRU14 perlu menjadi keutamaan bagi setiap anggota Umno berbanding niat untuk bertanding pada pemilihan parti.

Beliau berkata perkara utama yang perlu menjadi fokus adalah kemenangan parti pada PRU14 dan beliau tiada sebarang halangan bagi mereka yang berminat bertanding pemilihan parti akan datang.

“Tidak salah untuk memasang niat kerana sesiapa sahaja layak bertanding namun mereka perlu memberi penekanan penuh dalam mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRU akan datang.

“Semua anggota Umno jadikan persiapan jentera dan menawan pengundi lebih utama daripada menyiapkan diri sebagai calon dalam pemilihan parti akan datang,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment