Jangan Ingat Pati Saja Dalam Rumah Kongsi - KP Imigresen

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menegaskan bahawa bukan semua warga asing yang diperiksa dalam Ops Mega E-Kad adalah pendatang asing tanpa izin (Pati).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, segelintir masyarakat tidak memahami bahawa dalam prosedur operasi penguatkuasaan, semua orang akan diperiksa bagi mengenal pasti kesalahan mereka.

"Kadang-kadang masyarakat tidak tahu apabila kita melakukan operasi, kita membuat pemeriksaan terhadap semua orang dalam operasi termasuk menyemak dokumen mereka.
"Selepas diperiksa, kita mendapati sesetengah mereka merupakan pekerja asing yang sah, mempunyai E-Kad atau pas tertentu. Jadi, kita lepaskan mereka dan hanya menahan yang melakukan kesalahan imigresen," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kebocoran maklumat berhubung Ops Mega E-Kad berikutan dakwaan Pati masih lagi berleluasa di sesetengah kawasan terbabit dalam operasi yang bermula sejak 1 Julai lalu.

Mustafar berkata, seramai 1.86 juta pekerja asing yang sah di negara ini, dan jumlah tersebut tidak termasuk bilangan Pati yang mendaftar E-Kad iaitu pengesahan sementara bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula Pati secara sah.
Dilaporkan sejak program E-Kad diperkenalkan pada 15 Februari sehingga 30 Jun lalu, lebih 160,000 Pati telah berdaftar.

Walaupun beberapa lokasi didapati sering menjadi tumpuan penempatan Pati seperti di rumah kongsi di tapak pembinaan, Mustafar berkata, sebahagian mereka mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

"Contohnya semasa saya sendiri turun padang di Nilai (Negeri Sembilan) baru-baru ini, kita buat pemeriksaan terhadap 450 orang dan kita tangkap 305 orang. Bakinya kita lepaskan kerana mereka ada dokumen.

"Ada juga dalam kes lain yang kita periksa hampir 1,500 orang dan hanya suku daripada jumlah itu yang kita tangkap. Jadi, tak boleh kata semua tu salah.
“Jangan hanya ingat kalau rumah kongsi yang dihuni ramai-ramai sehingga 20 pekerja asing mesti Pati. Itu sekadar persepsi mereka," katanya.

Bagaimanapun, Mustafar menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Pati kepada Jabatan Imigresen selain risikan yang dilakukan jabatan itu.
“Operasi penguatkuasaan imigresen akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam memutuskan rantaian kesalahan, termasuk melaksanakannya bersama agensi penguat kuasa undang-undang lain,” tegas beliau.

Sejak Ops Mega E-Kad dijalankan sejak 1 Julai sehingga Rabu, seramai 5,173 Pati ditahan, di mana warga Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,520 orang, diikuti warga Indonesia 1,476 orang, Myanmar (429), Vietnam (285), Thailand (206), Filipina (261) dan bakinya dari negara-negara lain.

Mustafar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sepanjang tempoh itu, 1,272 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara.
"Seramai 17,955 orang diperiksa dan hasilnya 5,173 orang membabitkan 5,065 Pati ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, selain 108 majikan dan 367 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh itu,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana