Husam calon sesuai jadi MB Kelantan, kata Kit Siang

Jika Pakatan Harapan (PH) menang di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, Datuk Husam Musa merupakan calon yang sesuai diangkat sebagai Menteri Besar.

Cadangan itu diutarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang selain menganggap ADUN Salor itu mampu menjadi teladan yang baik kepada rakyat Kelantan dan seluruh negara.

Husam dipecat daripada PAS pada Mei 2016 kerana melanggar disiplin dan tatatertib parti, dan menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS pada ketika itu.

Bekas exco Kelantan itu lantang mengkritik kepimpinan PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menjadikan kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘teraju’ utama penubuhan Amanah.

Sokongan Kit Siang terhadap Husam itu dinyatakan menerusi ucapannya ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri yang dianjurkan DAP cawangan Suara Muda, Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kota Bharu, semalam.

Ucapan Kit Siang itu turut dimuatnaik di blognya.

“Seperti saya katakan dalam program ke-4 ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Amanah peringkat kebangsaan di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di Kota Bharu pagi ini, angin perubahan politik bertiup kencang di negara ini, termasuk Kelantan.

“Saya berharap Datuk Husam Musa akan menjadi menteri besar Kelantan yang baru pada (sambutan) Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan saya akan kembali ke Kota Bharu tahun depan untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Kelantan Pakatan Harapan.

“Walaupun bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ialah mursyidul am PAS, beliau juga merupakan teladan kepada rakyat Malaysia yang bukannya ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai menteri besar Kelantan selepas PRU14, beliau akan menjadi teladan baru bukan hanya untuk rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia di negeri lain juga,” ujarnya.

Kit Siang dalam pada itu hairan bagaimana Hadi boleh mengeluarkan surat terbuka kepada parti-parti politik yang meminta tidak lagi mendesak Najib berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya tidak faham bagaimana Najib boleh menjadi teladan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, sehinggakan beliau boleh mengeluarkan surat terbuka kepada parti politik pada malam Raya dan meminta semua pemimpin politik di negara ini berhenti mendesak perdana menteri bertanggungjawab terhadap 3 orang yang dikaitkan dengan 1MDB, saman kleptokrasi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan skandal kleptokrasi global,” ujarnya lagi.

Kritikan Kit Siang terhadap Hadi itu timbul selepas pemimpin PAS itu menggesa semua pihak menolak campur tangan pihak luar dalam masalah dalaman negara dengan memberi contoh kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka disebabkan pihak tertentu mempelawa campur tangan penjajah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti politik tidak mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing menyelesaikan masalah negara seperti kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana