Buka rahsia Dr Mahathir untuk rakyat menilai - Penganalisis

KOTA BHARU: Tidak salah untuk pemimpin atau bekas pemimpin Umno dan kerajaan membuka aib Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Malah, perkara itu wajar diberi pertimbangan untuk mendeklasifikasikan dokumen sulit parti dan kerajaan supaya segala kesilapan Dr Mahathir sewaktu berkuasa terdedah kepada rakyat.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pembukaan rahsia ini penting supaya penilaian rakyat terhadap Dr Mahathir menjadi lebih objektif.

"Saya menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk membuka rahsia Dr Mahathir sebab selama ini rakyat lebih banyak disogokkan maklumat positif mengenai beliau.

"Budaya menghormati pemimpin atau bekas pemimpin secara keterlaluan sehingga menyembunyikan kesilapan atau kezaliman yang mereka lakukan sewaktu memerintah perlu dikikis dari masyarakat Malaysia.

"Bukan rakyat tidak tahu kesilapan dan kezaliman Dr Mahathir sewaktu berkuasa ini kerana ia telah banyak didedahkan sama ada oleh pihak yang menjadi mangsa penganiayaan beliau atau oleh badan bebas seperti ahli akademik.

"Begitupun, pendedahan ini akan menjadi lebih konklusif dan definitif jika ia dibuat secara rasmi oleh pihak parti dan kerajaan, sekaligus mengimbangi segala maklumat positif mengenai jasa beliau yang sedia diketahui umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid di Bagan Datuk semalam untuk membuka aib Dr Mahathir jika beliau tidak menjaga mulut dan berkelakuan baik.

Kamarul Zaman, yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), berkata, dalam Islam sekalipun perbuatan membuka aib pemimpin atau bekas pemimpin dibenarkan demi menjaga kemaslahatan umum.

"Bila Mahathir bergerak aktif untuk menggulingkan pemimpin sedia ada dan menawarkan diri untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, rakyat perlu diberi maklumat jelas dan tepat mengenai rekod beliau supaya mereka tidak membuat pilihan yang salah.

"Saya harap pemimpin Umno dan kerajaan akan benar-benar serius dengan cadangan ini kerana ia bukan pertama kali diutarakan dan turut pernah disebut oleh pemimpin seperti Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Annuar Musa.

"Malah, kerajaan juga tidak perlu takut untuk menghadapkan Dr Mahathir ke mahkamah jika apa-apa pendedahan tersebut mempunyai implikasi perundangan ke atas beliau kerana, selain selaras tuntutan agama, ia juga akan mendapat sokongan rakyat," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana