“APA SEBENARNYA NIAT MAHATHIR MAHU BEBASKAN ANWAR?” – PAS

“Mengapa hanya baru sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad sedar akan nasib yang menimpa bekas musuhnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?, demikian soal PAS kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz kemudiannya menyifatkan sokongan bekas perdana menteri itu terhadap Anwar tidak lebih kerana gerak atur untuk kepentingan politiknya.

Beliau merujuk kepada sokongan Dr Mahathir beberapa hari lalu yang meminta supaya Anwar dibebaskan dari penjara, sekaligus dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Nik Abduh dalam pada itu berkata PAS sejak dari dahulu konsisten dengan pendirian supaya Ketua Umum PKR itu perlu diadili dengan adil dan saksama.

“Ia adalah kenyataan politik, walaupun ia benar.

“Pada asasnya kita sudah lama, mahu beliau dihakimi dengan adil. Sebarang usaha untuk membebaskannya kita alu-alukan.

“Cuma kenyataan Dr Mahathir terdesak. Sepatutnya perkara itu keluar sudah lama dari mulutnya kerana beliau sudah lama jadi pembangkang. Lainlah jika beliau masih di pihak Umno,” tegasnya ketika ditemui Antarapos, ketika menghadiri Majlis Ruma Terbuka Aidilfitri PAS Pusat bertempat di Kompleks Al-Makmur, Kuala Krau, semalam.

Dr Mahathir baru-baru ini mahu Anwar dibebaskan dari penjara dan diberikan kebenaran untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Bercakap dalam temubual bersama media United Kingdom, The Guardian, Dr Mahathir menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai ‘mangsa dendam politik’ dan ‘diperlakukan secara tidak adil’.

Malah bekas perdana menteri itu mendakwa keputusan mahkamah tersebut jelas dipengaruhi kerajaan memerintah dan menggesa kerajaan akan datang selepas pilihan raya meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Anwar.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas sabitan liwat, pernah dipenjarakan pada tahun 1998 ketika Dr Mahathir sebagai perdana menteri atas kesalahan salah guna kuasa.

Lembaga Penasihat PAS perkemas hala tuju parti

Sementara itu Nik Abduh juga mengulas dakwaan bahawa berlaku pertembungan antara pimpinan utama PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan penubuhan satu jawatankuasa baru yang dinamakan Lembaga Penasihat PAS.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menafikan dakwaan pertembungan tersebut selain menyifatkan tujuan jawatankuasa itu adalah untuk memperkemaskan lagi hala tuju PAS selepas berlakunya ‘pembersihan’ parti sejak dua tahun lalu.

“Hal itu dibincangkan sebelum daripada Hadi masuk hospital. Cuma dalam mesyuarat itu disahkan. Tujuan kewujudan majlis penasihat adalah untuk meraikan pandangan orang lama yang masih istiqamah dengan PAS. Kita lihat PAS pada hari ini adalah barisan kepimpinan baru selepas berlaku perpecahan. Pandangan yang baru ini perlu disambung dengan pandangan orang lama.

“Pembaharuan yang berlaku bukan terpisah dari PAS sebelum ini. Kami amat bersetuju dengan majlis penasihat ini. Saya yakin mungkin ada lagi figura yang dilantik parti,” tegasnya.

Sebelum ini bertebaran pertelagahan antara dua pimpinan PAS itu selepas Tuan Ibrahim didakwa melantik bekas Pengarah PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS.

Tuan Ibrahim dikatakan membuat pelantikan itu ketika memangku jawatan Presiden semasa Hadi sedang menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), yang kemudiannya didakwa mengundang ketidakpuasan Hadi.

Namun Tuan Ibrahim menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan jawatankuasa itu merupakan cadangan asal Hadi dan dipersetujui pemimpin berkenaan, dan beliau hanya meneruskan pelantikan itu ke peringkat Jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam pada itu Mustafa ketika ditemui Antarapos semalam, enggan mengulas isu pelantikan berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana