30 Sen Ikat Tepi Tak Ada Nilai?

PETALING JAYA: Seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai pengusaha restoran di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) tampil menjelaskan mengenai caj 30 sen untuk servis ‘ikat tepi’ bungkusan air limau yang tular di media sosial.

Menerusi satu video yang dikongsikan di laman sosial pada Jumaat, wanita tersebut menjelaskan 30 sen itu sebenarnya adalah ‘nilai tambah’ kepada saiz air minuman dengan bilangan limau yang lebih banyak.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, 30 sen tidak membawa apa-apa nilai,” katanya.
Pada Khamis tular mengenai pelbagai reaksi netizen yang berang dengan tindakan sebuah restoran di R&R mengenakan caj 30 sen untuk air minuman yang dibungkus.

Ia susulan gambar sekeping resit yang dimuat naik di laman sosial milik seorang pembeli yang memesan air limau asam boi berharga RM3.50 turut menyebut caj tambahan 30 sen untuk servis ‘ikat tepi’, menjadikan jumlah bayaran adalah RM3.80.

Sambil menunjukkan dua gelas air limau yang diletakkan di atas meja, wanita itu berkata, ia adalah gelas air minuman berisi ais untuk pelanggan yang minum di restoran, manakala segelas lagi air minuman tanpa ais sebelum dibungkus untuk dibawa pulang pelanggan.
Pengusaha itu membuat demonstrasi dengan menuangkan kedua-dua gelas air minuman berais dan tanpa ais, masing-masing ke dalam bungkusan plastik.
“Ini adalah air berais dan tanpa ais, sama banyak kan?” kata wanita itu sebelum memasukkan ais di dalam bungkusan air minuman tanpa ais.

“Bukan apa, macam besar sangat isu 30 sen kepada (harga) untuk satu bungkusan air. Pada kami, 30 sen adalah ‘nothing’ (tak ada apa-apa) sebab kami dah berikan nilai yang lebih,” tambahnya.
Bagaimanapun penjelasan tersebut sebaliknya terus menerima kecaman netizen dengan menyifatkannya sebagai angkuh dan tidak masuk akal.
Seorang netizen berkata: “Tak ada nilai 30 sen itu bagi kamu yang berniaga. Tapi kalau tak ada nilai, kenapa kau caj?.”

Malah ada netizen mempersoalkan pengusaha itu tidak menjawab mengenai keterangan ‘ikat tepi’ pada resit: “Orang pertikaikan ikat tepi, bukan kuantiti air.”
Seorang lagi netizen berkata: “30 sen tak ada nilai pada makcik, tapi pada pelajar-pelajar dan orang-orang miskin besar nilainya.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman menyifatkan bahawa penjelasan pengusaha itu mengenai caj 30 sen sebagai ‘ikat tepi’ tetap mengelirukan.

Katanya, tidak dinafikan sesetengah kedai mengenakan caj berlainan iaitu lebih tinggi bagi air yang dibungkus kerana kuantiti lebih banyak berbanding air yang diminum di kedai.
“Tapi penjelasan pengusaha tersebut mengenai istilah ‘ikat tepi’ mengelirukan. Ia seolah-olah caj yang dikenakan adakah servis mengikat bungkusan air itu.
“Adakah 30 sen itu merujuk kepada ikatan atau kos tali yang diikat pada bungkusan tersebut? Jadi, lebih jelas dan faham sekiranya pengusaha sebut RM3.80 itu adalah harga air minuman yang dibungkus,” katanya.

Beliau menambah, pengusaha juga perlu menyenaraikan harga minuman dan makanan di premis dan dibungkus pada menu dan bukan pada resit semata-mata, sekiranya terdapat perbezaan harga kedua-duanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment