PM LULUS RM29 JUTA TAMBAH BAIK LALUAN MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA PERSEKUTUAN

Laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan bagi kedua-dua arah akan dinaiktaraf dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM29 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meluluskan peruntukan itu selepas mendengar maklum balas terhadap kesukaran yang dihadapi penunggang motosikal di lebuh raya berkenaan.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini telah menggunakan peruntukan awal sebanyak RM500,000 untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan peringkat permulaan pada tahun lepas.
“Kita telah kemukakan segala rintihan penunggang motosikal ini kepada Perdana Menteri dan beliau dengan segera telah meluluskan peruntukan RM29 juta melalui bajet tahun lepas.
“Alhamdulillah bajet itu telahpun turun (diterima) dan hari ini kita akan laksanakan kerja-kerja lebihan yang lebih besar,” katanya pada sidang media selepas melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan jejambat dan menaiktaraf sistem perparitan di Lebuh Raya Persekutuan di sini hari ini.
Fadillah berkata, kerja-kerja penambahbaikan selanjutnya adalah melebarkan laluan motosikal berkenaan sekurang-kurang 3 meter serta laluan keluar masuk motosikal.
Katanya, projek tersebut akan bermula Jun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.
Sementara itu, ketika ditanya langkah keselamatan ekoran laluan tersebut sering menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan samun, Fadillah berkata, beberapa perkara yang mempunyai kaitan berhubung kejadian seperti itu telah diambil kira.
Katanya, antara langkah yang diambil ialah menambah pencahayaan iaitu memasang lebih 400 tiang lampu supaya keadaan laluan menjadi lebih terang pada waktu malam.
Selain itu, turut disediakan kawasan perhentian untuk penunggang motosikal berhenti sekiranya berlaku cuaca hujan dan sebagainya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana