Najib sindir mimpi bekas ketua uji PROTON

Negara terpaksa menanggung kerugian besar syarikat PROTON sejak dahulu lagi, disebabkan melayan mimpi tidak realistik seorang individu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak.

Beliau berkata, semua orang perlu sedar bahawa model perniagaan pengeluar kereta nasional pertama negara itu tidak mapan untuk jangka masa panjang.

“Terlalu lama mimpi tidak realistik dan kurangnya pemahaman komersial bekas ‘ketua tukang ujinya’ dilayan. Beliau lebih suka Proton dimiliki 100 peratus oleh Malaysia dan kerugian ratusan juta setahun.

“Tapi itu wang rakyat dan tidak bertanggungjawab untuk kita meneruskan model perniagaan yang jelas tidak akan berjaya,” katanya katanya dalam ucapan majlis menandatangani perjanjian antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH).

Walaupun Najib tidak menyebut sebarang nama, ia dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik penjualan PROTON sejak kebelakangan ini.

Perjanjian ditandatangani Pengarah Urusan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Pengerusi Geely, Liu Shufu sambil disaksikan Najib, Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil dan Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Menurut Najib usahasama itu akan menyaksikan PROTON bakal menjadi pengeluar kereta utama di Asia Tenggara.

“Jika anda buta ekonomi, menolak pelaburan langsung asing kerana kurang maklumat atau sebab perkauman, ia hanya menyebabkan rakyat semakin mundur dan kita kehilangan daya saing,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment