KELANTAN TAK TERJEJAS JIKA WAKIL PKR LETAK JAWATAN

Peletakan jawatan wakil PKR di Kelantan tidak akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri itu, kata Yang Di- Pertua (YDP) PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun.

Malah kerajaan negeri tiada masalah untuk mengisi jawatan yang bakal dikosongkan wakil parti itu, katanya.

“Maknanya ianya tidak jejas lah bagi kita. Kalau dia letak jawatan tidak jejas sangat, kalau nak kata tak jejas takbur pula. Itu yang boleh dikatakan.

“Soal letak atau tidak letak itu pada kita tidak berbangkit sangat. Bila nak letak pun kita tidak memaksa supaya mereka itu letak jawatan. Sebab ini bergantung pada keadaan sepertimana di Selangor. Ada sesuatu yang kita, bermakna PAS tidak akan buat satu keputusan yang drastik dalam hal ini,” katanya kepada Antarapos hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penegasan terbaru Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa wakil partinya di Kelantan tetap akan meletakkan jawatan namun memerlukan masa untuk berbuat demikian.

Azizah berkata beliau menjangkakan proses serah kuasa itu akan berakhirnya sepenuhnya akhir Julai depan.

Mengulas ketetapan terbau Azizah itu, Fatah berkata PAS Kelantan sendiri tidak menetapkan tempoh atau menekan agar urusan itu dipercepatkan.

“Kita tidak gopoh dalam pengisian kita. Tidak gopoh kerana had sudah mencukupi untuk mentadbir agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Fatah juga berkata kekosongan jawatan itu kelak akan diisi oleh mereka yang menyokong kerajaan negeri.

“Mestilah orang yang pro kerajaan. Tidak semestinya ahli PAS, kadang-kadang NGO mengisi tempat tersebut terutama sekali dalam Majlis Daerah, Majlis Perbandaran. Kita ada NGO dan sebagainya.

“Kalau tidak ada orang yang layak jadi kita isikanlah kekosongan itu dengan ahli PAS,” tambahnya.

Sebaik sahaja PAS bertindak memutuskan hubungan dengan PKR, parti itu mengarahkan wakilnya di Kelantan melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun sebulan sudah berlalu dan wakil mereka masih belum melepaskan jawatan masing-masing atas alasan terpaksa mengikut prosedur tertentu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu PKR Pusat akan kembali berbincang dan membuat ketetapan baru berhubung keengganan wakil mereka melepaskan jawatan.

Namun kenyataan Izzah disanggah Azizah dengan berkata wakil mereka akan meninggalkan Kelantan dan dijangka semuanya selesai pada akhir Julai depan. – AP
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment