GUAN ENG PERLU MOHON MAAF KEPADA TAN SENG GIAW

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng ditempelak supaya mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada Ahli Parlimen DAP Kepong, Tan Seng Giaw.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, tindakan itu perlu memandang­kan Guan Eng dilihat seolah-olah memperlekeh teguran ikhlas Seng Giaw yang juga veteran DAP dalam isu kehancuran alam sekitar yang semakin serius di negeri itu.

Menurut beliau, teguran kritikal Seng Giaw memberi gambaran jelas yang Kerajaan DAP Pulau Pinang telah gagal memberikan keutamaan dalam soal pemba­ngunan sehingga merosakkan alam sekitar serta bukit tanpa berpegang kepada garis panduan pembangunan sedia ada.

“Jika teguran ikhlas serta bernas daripada ahli senior DAP yang sudah lapan penggal menjadi Ahli Parlimen boleh disanggah secara ego, maka sudah pasti teguran pihak lain ha­nya membuang masa.

“Wajarkah kepimpinan sebegini dikekalkan oleh penduduk negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Seng Giaw mene­gaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk dihubungi pada bila-bila masa sekali gus menafikan dakwaan Guan Eng kononnya bekas Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu sukar dihubungi.

Guan Eng membuat kenyataan itu bagi membalas kenyataan Ahli Parlimen Kepong berkenaan di laman sosial yang melahirkan rasa bimbang de­ngan kemusnahan alam sekitar akibat pembangunan khususnya di kawasan Balik Pulau di sini.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, kebimbangan Seng Giaw berhubung ancaman kemusnahan alam sekitar di negeri ini adalah kenyataan yang tidak boleh di­sangkal Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurut beliau, pelbagai pihak khususnya penduduk negeri ini sendiri berulang kali membangkitkan perkara itu selepas melihat pendekatan mesra pemaju oleh kerajaan negeri khususnya untuk projek-projek kondominium mewah.

“Situasi pembangunan yang rakus berteraskan konsep ‘mesra pemaju’ menyebabkan rakyat negeri ini berada dalam dilema dari sudut prasarana yang tidak sistematik sehingga mengundang kepada banjir kilat,” katanya.

Malah, beliau yakin teguran Seng Giaw terhadap kecacatan pembangunan itu adalah mewa­kili penduduk berbilang kaum di negeri itu terutama masyarakat Cina sendiri yang mula terkesan untuk memiliki hartanah disebabkan harga yang terlampau tinggi.

Utusan
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment