Clare digesa datang ke Malaysia buktikan semua dakwaannya

 Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sekali digesa datang ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan laman web pemberi maklumat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengulangi gesaannya itu bagaimanapun berkata beliau tidak boleh menjamin laluan selamat kepada Rewcastle-Brown setibanya di Malaysia dan kembali ke England.

“Saya tidak akan jamin dia laluan selamat. Jika dia mahu datang, dia datang dan membuktikan apa sahaja tuduhan yang dibuatnya itu.

“Jika tidak, dia akan terus membuat bising (dan) tuduhan yang tidak berasas,” kata Khalid pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid turut menegaskan pihak polis tidak akan menyoal-siasat Muhammad Shafee berhubung dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung pembayaran RM9.5 juta itu.

Ini kerana semua dakwaan yang dibuat hanyalah bersandarkan kepada khabar angin daripada Sarawak Report dan tiada bukti yang kukuh.

“Awak (Rewcastle-Brown) tuduh orang itu dan ini, awak macam pukul curi, awak pukul orang, tangan belakang.

“Kalau betul-betul ikhlas, datang. Dan buktikan apa-apa pertuduhan yang awak miliki.

“Jika tidak, ia sekadar khabar angin,” katanya.

Susulan dakwaan Sarawak Report, Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwa raya menerima RM9.5 juta daripada Najib, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman pemula untuk mengketepikan sabitan kesalahan liwat terhadapnya.

Dalam saman itu, Anwar yang menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal memohon pengisytiharan bahawa sabitan kesnya tidak sah dan ultra vires atau di luar bidang kuasa perlembagaan mengenai kebebasan.

Anwar ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah pada 10 Feb 2015.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment