TUN MAHATHIR HARUS BERLAKU ADIL KEPADA SYED MOKHTAR DAN KERAJAAN

1. Proton bermula sebagai salah satu pemacu agenda nasional – Dasar Perindustrian Berat Negara. Malaysia merancang untuk menjadi salah satu “pemain” industri berat dunia.

2. Bersama Hicom, Proton, Perwaja dan beberapa lagi industri berkaitan, kerajaan memberi tumpuan khusus kepada usaha ini dalam Rancangan Malaysia Keempat, Kelima dan Keenam. Ini termasuk pengswastaan Airod pada 1985.

3. Malangnya, selepas lebih 20 tahun semua ini terhakis dan runtuh sedikit demi sedikit kerana perubahan zaman dan cabaran yang berlainan dalam industri berat.

4. Selepas Perwaja, Proton menampakkan tanda-tanda akan tewas. Selepas lebih 30 tahun, pasaran Proton tidak pernah berkembang melampaui sempadan Malaysia.

5. Pelbagai usaha dan pelaburan telah dilakukan oleh Kerajaan sejak zaman Tun Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Sri Mohd Najib Tun Razak.

6. Dari penggubalan dasar sehinggalah kepada pembelian Lotus dan MV Augusta. Kedua-dua pembelian ini meningkatkan nama Malaysia dan imej Proton. Malangnya, ia tidak diterjemahkan kepada satu-satunya perkara terpenting dalam Proton iaitu jualan kereta.

7. Maka pembelian MV Augusta dan Lotus menjadi satu pembaziran apabila ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada kemajuan perniagaan Proton. Proton sebelum pembelian dan selepas sekian lama menguasai Lotus masih tidak dapat keluar dari kepompong pasaran Malaysia sahaja.

8. Dari Perdana Menteri seorang doktor, kemudiannya ulama dan sekarang lulusan ekonomi, Proton hanya statik dalam ruang lingkup yang sama.

9. Dari segi perniagaan automotif, Proton tidak mempunyai satu pasaran yang mencukupi untuk melaburkan wang berbilion ringgit untuk R&D sahaja.

Kerajaan Jual Ikon Nasionalisme?

10. Menurut Tun Mahathir Proton adalah satu lambang nasionalisme. Betul. Namun ia hanyalah nasionalisme kebendaan yang boleh ditukar ganti.

11. Jika suatu masa dulu kita bangga dengan Menara Kuala Lumpur, kemudiannya KLCC dan kemudiannya Putrajaya. Suatu masa dahulu Stadium Merdeka satu kebanggan, hari ini Stadium Nasional Bukit Jalil adalah ikon nasionalisme sukan yang baru.

12. Jika suatu masa dahulu lagu Negaraku rentak ala “Terang Bulan” adalah simbol nasionalisme negara, Tun Mahathir menukar lagu tersebut kepada rentak lebih bersemangat pada 2003.

13. Nasionalisme adalah proses cinta dan sayang kepada negara. Proton, lagu, simbol hanyalah alat ke arah mewujudkan perasaan tersebut. Justeru penjualan sebahagian saham Proton tidak seharusnya dianggap sebagai penjualan nasionalisme.

Berlaku Adillah Kepada Syed Mokhtar

14. Apabila Tun Mahathir mendakwa Kerajaan menjual Proton ia adalah satu kenyataan yang “mislead”. Penjualan Proton adalah keputusan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari.

15. Kerajaan hanya terbabit dalam rundingan dan urusniaga ini kerana mempunyai “Golden Share” sebagai timbal balas “soft loan” yang diberikan.

16. Namun Proton adalah milik Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Maka Kerajaan perlu berlaku adil kepada Syed Mokhtar untuk menguruskan perniagaannya.

17. Dari seorang konglomerat yang stabil dan mapan, Syed Mokhtar bakal terseret dalam krisis kewangan serius selepas mengambil alih Proton. Dianggar beliau kerugian sekitar RM 2.5 bilion sejak mengambil alih Proton.

18. Justeru Tun dan penyokongnya harus berlaku adil kepada Kerajaan dan Syed Mokhtar. Ini soal perniagaan. Lalu ia harus diuruskan dalam konteks perniagaan bukan emosi berasaskan nasionalisme “artificial”.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment