SITUASI BERBEZA, WAKIL RAKYAT PKR DI KELANTAN TIDAK PERLU LETAK JAWATAN – KHALID SAMAD

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata situasi politik PAS-PKR di Kelantan berbeza dengan Selangor, justeru wakil rakyat PKR di negeri itu tidak perlu meletakkan jawatan.

Khalid berkata demikian disaat tiga Exco PAS didesak melepaskan jawatan mereka di Selangor selepas Majlis Syura Ulama parti itu menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Beza Kelantan dan Selangor ialah di Selangor, kerajaan itu dipimpin oleh PKR dan PAS putuskan hubungan dengan PKR. Tetapi di Kelantan kerajaan itu di bawah PAS, (namun) PKR tak putuskan hubungan dengan PAS.

“Jadi kalau PKR masih duduk dalam kerajaan di Kelantan, ianya tak pelik kerana PKR tak putuskan hubungan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, hari ini.

Khalid kemudiannya berkata jika PAS mahukan wakil rakyat PKR keluar daripada Kelantan, parti itu harus memecatnya.

“Sepatutnya dia (PAS Kelantan) pecatlah (wakil PKR), tetapi bukannya PKR yang letak jawatan. (Wakil) PKR (di) Kelantan, PAS (yang) patut pecat dan di Selangor, (wakil) PAS patut letak jawatan,” ujarnya lagi.

Terdahulu bekas senator PKR, Saiful Izham Ramli mendesak agar PKR juga mengosongkan kesemua lantikan politik di Kelantan susulan tindakan PAS memutuskan kerjasama sesama mereka.

Katanya, PKR perlu mengambil langkah itu jika mahu PAS berbuat perkara yang sama di Selangor.

Pemberita bertanyakan desakan Saiful itu kepada Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah namun dijawab Khalid.

Saifuddin dalam pada itu memberitahu PH akan mengumumkan minggu depan, 10 rekaan logo terbaik, daripada 330 karya yang diterima sehingga hari ini.

“Kami akan memilih lebih kurang 10 logo itu dan ia akan diadakan pemilihan oleh khalayak dan ini akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.

“Selepas itu, kami akan membuat pemilihan atau keputusan tentang logo yang paling sesuai untuk digunakan sebagai logo rasmi PH,” ujarnya.

PH sebelum ini membuka peluang untuk orang ramai mencipta logo pakatan mereka selepas tiga buah karya rekaan mereka sendiri mendapat kritikan hebat netizen.

Netizen menyifatkan ketiga-tiganya buruk dan tidak profesional.

Logo itu bakal dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk digunakan mewakili PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Parti komponen PH sebelum ini menggunakan logo parti masing-masing semasa menyertai pilihan raya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment