PRU14: Amanah Kelantan ikrar 'putar kembali' rekod kekalahan PAS

Selepas ditempelak PAS Kelantan, Amanah negeri itu mengingatkan sejarah lama PAS yang pernah kalah teruk dalam beberapa pilihan raya umum di negeri serambi Makkah itu.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata tidak mustahil penguasaan PAS selama 27 tahun di Kelantan ditamatkan jika parti berkenaan enggan mengakui kelemahan sendiri.

"Rakyat Kelantan agak berbeza di tempat lain. Satu-satunya negeri yang rakyatnya boleh membuat gelombang menukar kerajaan adalah di Kelantan. Ternyata pada pilihan raya umum yang pertama pada 1959, rakyat Kelantan memberikan kepercayaan kepada PAS daripada suasana pilihan raya umum pertama sebelum merdeka pada 1955, walaupun PAS meletak calon namun kebanyakkan hilang deposit.

"Namun dalam tempoh dua tahun kejutan berlaku, dari 30 kerusi dipertandingkan ketika itu, PAS mendapat 28, MCA satu kerusi, dan Umno satu kerusi.

"Tetapi selepas 18 tahun, PAS pula yang menerima kejutan apabila rakyatnya memberi pukulan maut dengan kemenangan hanya dua kerusi daripada 36 yang ditandingkan, dari sebuah parti yang mentadbir negeri menjadi parti yang hanya ada dua kerusi, berdasarkan (keputusan) pilihan raya umum 1978.

"Apabila BN menang dan beberapa pilihan raya berikutnya dalam tempoh 12 tahun, sekali lagi rakyat Kelantan membuat gelombang dengan memberi kemenangan mutlak kepada PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46, Hamim dan Berjasa, dimana 39 kerusi DUN, Angkatan Perpaduan Ummah menang kesemuanya," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Reaksi Wan Rahim itu menyusul amaran Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang menyatakan Amanah tidak akan menang walau satu kerusi di Kelantan di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, sambil menyifatkan parti serpihan itu sebagai 'kemuncup'.

Menantu bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu kemudiannya menyatakan keyakinan bahawa PAS mampu terus menawan Kelantan dengan strategi tersendiri.

Wan Rahim berkata, PAS semakin hilang arah tuju selepas kematian Nik Aziz, lebih-lebih lagi dalam soal kegagalan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Bukan itu sahaja beliau mendakwa pentadbiran PAS Pusat dan kerajaan negeri yang diterajui negeri itu sudah terpisah dua, membawa matlamat yang berbeza.

"Genap empat tahun pentadbiran baru kerajaan negeri selepas ketiadaan Tok Guru, ternyata gagal menangani permasalahan dan menjaga kebajikan rakyat.

"Apabila PAS mulai hilang sokongan dan tertubuhnya Amanah dan Umno juga menghadapi nasib yang serupa dengan tertubuhnya PPBM, maka suasana untuk rakyat membuat gelombang baru di dalam PRU14 adalah cukup baik dan berpotensi.

"Nasihat saya (kepada Ariffahmi) supaya lebih peka dan berhemah di dalam menilai dan memberi pandangan politik dalam menghadapi PRU14. Apa yang saya nampak kini seolah-olah pimpinan PAS dan negeri seolah sudah putus, dan berada di dalam dunia lain, yang berbeza dengan citarasa dan selera rakyat di akar umbi," tegasnya.

Wan Rahim juga menepis dakwaan Ariffahmi, yang juga Ketua Penerangan PAS Machang bahawa Amanah hanya bergantung sokongan DAP dalam memenangi sebarang kerusi di dalam pilihan raya.

Beliau juga menasihati Ariffahmi agar 'mendalami' politik semasa Kelantan, termasuk kehendak akar umbi sebelum melontarkan sebarang pandangan dan tuduhan terhadap Amanah.

"Saya menasihati beliau dan orang seumpamanya supaya berhati-hati dan tidak terlalu selesa. Sebab politik Kelantan mempunyai 'track record' yang memberikan gelombang demi gelombang, ribut dan tsunami yang akhirnya kadangkala memberi kejutan, sehingga beberapa pemimpin besar di dalam setiap parti terpaksa mengakui kehebatan rakyat di dalam membuat pilihan," sindirnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana