PKR goyah jika empat ADUN lompat parti

 
SHAH ALAM: PKR berada dalam keadaan yang amat bahaya jika empat wakil rakyatnya bertindak melompat parti untuk membentuk kerajaan campuran di Selangor sebagaimana dakwaan yang kini bertiup kencang.
 
Timbalan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata, secara tidak langsung dakwaan tersebut memberi kesan kepada kestabilan PKR di negeri itu.
 
"Isu lompat parti ini bukan baru. Ia akan keluar apabila ada pergeseran ada perkara-perkara baru dalam politik. Apatah lagi pembangkang. Jadi kalau benarlah ada PKR akan lompat parti, itu bermakna PKR berada dalam keadaan bahaya. Sangat bahaya, pada waktu ini. 
 
"Jadi kita tunggulah, kalau betul jadinya PKR menghadapi PKR krisis yang teruklah pada saat ini. Kalau benar mereka akan keluar," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Baru-baru ini tersebar mesej di media sosial mengatakan empat ADUN PKR akan meninggalkan parti tersebut untuk menubuhkan kerajaan campuran yang baru.
 
Empat ADUN PKR yang dinamakan itu ialah Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari.
 
Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali hari ini menafikan dakwaan berkenaan.
 
Azmin menyifatkan dakwaan itu timbul ekoran ada pihak yang cemburu dan sekadar ingin membuat provokasi jahat susulan kejayaan dicapai kerajaan Pakatan Harapan di negeri Selangor.
 
Beberapa pemimpin PKR lain termasuk Naib Presiden, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin turut menyangkal dakwaan berkenaan dan menegaskan ianya tidak benar sama sekali.
 
Malahan, desas desus itu turut dinafikan Exco kanan PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad kononnya akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor susulan keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Dalam pada itu, Salawati mengibaratkan situasi PKR seperti 'cacing kepanasan' kerana dihambat dengan pelbagai isu mutakhir ini, termasuk hala tuju hubungan tahaluf siyasi dengan PAS.
 
Untuk rekod Muktamar PAS ke-63 baru-baru ini meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan yang akan dimuktamadkan Majlis Syura Ulama dalam tempoh terdekat.
 
PKR sebelum itu terpalit dengan skandal rasuah yang membabitkan pemimpin mudanya, Datuk Adam Rosly yang kini bercuti sementara daripada kesemua jawatan parti itu.
 
"Jadi pada saya isu PKR cacing kepanasan mungkin dengan kes Adam Rosly kemudian dengan kes yang ini. Jadi PKR dilihat banyak masalah lah. Kemudian Rafizi pun diajukan kepada pihak berkuasa kerana banyak sangat perkara yang dia sebut. Jadi pada masa ini PKR dilihat banyak masalah lah," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana