Pemuda PAS Selangor lanyak Mahfuz kritik tiga Exco tidak letak jawatan…

Pemuda PAS Selangor telah membidas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar kerana mempersoalkan tiga Exco parti itu tidak letak jawatan setelah hubungan politik dengan PKR diputuskan.

Ketua Penerangannya Mohamed Shukri Omar Isnin telah mengeluarkan kenyataan meminta beliau akur keputusan parti dan tidak perlu jadi jurucakap kepada PKR, DAP atau PAN pada perkara berhubung pendirian PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Ini sebagai reaksi kepada kenyataan Mahfuz yang antara lain kata tiga Exco PAS perlu letak jawatan agar parti itu tidak dilihat sebagai kartun politik yang tidak ada arah.

Katanya PAS juga tidak perlu berselindung disebalik pihak Istana Selangor untuk mempertahan jawatan Exco itu.

BERIKUT KENYATAAN PENUH BERKENAAN:

DATO’ MAHFUZ TIDAK PERLU JADI JURUCAKAP PARTI LAIN

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar tidak perlu menjadi jurucakap kepada PKR, DAP atau PAN pada perkara berhubung pendirian PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor. Ia adalah ketetapan PAS dari pertimbangan maslahah dan mafsadah yang didasari syariat, serta menjadi keputusan kolektif dan bukannya hawa nafsu.

Penjelasan tersebut telah pun dinyatakan berulang kali dan parti tidak perlu mensyarahkannya lagi. Ia menunjukkan parti sentiasa berpijak di bumi nyata dengan realiti semasa tanpa menggadai prinsip. Adalah Dato’ dipelawa hadir ke usrah untuk mendapat keterangan lanjut agar difahami semasaknya.

Sebagai ahli PAS, Dato’ Mahfuz sewajibnya mengetahui saluran untuk menyatakan pendapat termasuk berbeza pandangan. Sewajibnya juga Dato’ akur dan mematuhi disiplin dan adab berorganisasi jika bertegas masih mahu menjadi ahli PAS. Jika tidak, Dato’ hanya sekadar melafaz di mulut sebagai ahli PAS, tetapi menjanggalkan diri untuk berada di rumah sendiri.

Soal kepatuhan dan ketaatan inilah yang sering Dato’ sebut ketika berada di saf kepimpinan dahulu, tetapi kini sebaliknya. Kami mengira wajar Dato’ muhasabah dan lebih tahu bertempat dari menzahirkan diri seperti sesumpah dan makan keliling. Kami nasihatkan, ada baiknya juga difokuskan kepada tanggungjawab di parlimen yang Dato’ wakili sekiranya masih ‘berminat’ bertanding penggal hadapan.

Jika Dato’ masih seronok untuk sibuk mencampuri urusan rasmi parti termasuk di parlimen dan negeri lain, elok rasanya dipertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena kerana kedudukan itu diperolehi hasil dari hak, peruntukan dan pengorbanan parti ini.

Fokus PAS pasca Muktamar adalah memberi Khidmat terbaik untuk kebajikan rakyat. Kami tiada masa mahu melayan omongan kosong Dato'. Kalau benar fokus Dato' jatuhkan BN, maka teruskan membongkar penyelewengan bukan menyerang parti sendiri. Cukuplah Dato' membantu BN menyerang PAS. Seperti pepatah Melayu 'anak harimau di ajar makan daging'.

MOHAMED SUKRI OMAR

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment