PAS terus kena tembak kiri kanan…kerana nak bergayut jawatan Exco Selangor

Apakah Jawatankuasa PAS Pusat akan buat suatu keputusan mengejut pada mesyuartnya Khamis ini mengenai kedudukan tiga Exco dari parti itu yang kini masih bergayut dalam pentabiran kerajaan negeri Selangor?

Tandatanya ini makin hangat berlegar melihat pada tekanan yang semakin memuncak agar mereka segera ‘angkat kaki’ selepas kerjasama politik dengan PKR putus.

Isu pokok yang dipersoalkan ialah prinsip dan maruah parti itu.Lojiknya kalau sudah bercerai apa lagi yang nak ditunggu.

Pimpinan PAS tentu ada mata dan telinga mendengar komentar kiri kanan yang boleh berdesing dibuatnya.

Tiga exco dari PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Antaranya yang terbaru bekas Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli cukup sinis sekali menyindir pendirian pimpinan PAS Selangor hendak tiga Exco itu kekal.

Katanya tindakan tiga Exco itu nak kekal dalam kerajaan Selangor akan membuktikan kepada para pengundi mereka lebih mengutamakan kedudukan dan faedah dari prinsip dan perjuangan.

Baginya Pakatan Harapan akan untung sekiranya PAS terus kekal memegang tiga jawatan dalam kerajaan negeri Selangor.

Ikut pandangan Rafizi kredibiliti PAS akan pudar sedikit demi sedikit gara-gara itu.

Setiausaha PKR sekarang,Datuk Saifuddin Nasution tidak sembunyi langsung pendiriannya mahu tiga Exco PAS itu angkat kaki.

Katanya perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan.

Saifuddin kata tidak masuk akal sekiranya PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP sebelum ini, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.

Ahli Dewan Undangan Negeri PKR kawasan Batu Tiga Rodziah Ismail juga berpendirian tiga Exco berkenaan perlu letak jawatan.

Isnin,ADUN DAP kawasan Damansara Utama,Yeo Bee Yin mempersoalkan alasan PAS untuk kekal pegang tiga jawatan Exco kerana nak memelihara mandarat rakyat yang undi mereka dalam pilihanraya umum ke 13 lalu.

Dakwa beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pusat mandat rakyat ialah untuk Pakatan Rakyat.

Jadi,katanya apa lagi alasan moral untuk PAS kekal dalam kerajaan Selangor.

Yeo kata beliau terkejut dengan kenyataan Persuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi bahawa partinya hendak kekal dalam kerajaan Selangor untuk pantau agar DAP tidak ‘buat nakal’.

Beliau menegaskan DAP tidak perlukan PAS untuk kekal dalam kerajaan negeri untuk buat yang betul untuk rakyat Selangor.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sudah pun suarakan pendiriannya wajar tiga Exco letak jawatan.Pandangan sama dinyatakan oleh orang kuat DAP Selangor,Tony Pua.

Dengar cerita ini menjadi sentimen ramai kalangan ahli dan pimpinan kedua parti itu.

Parti Amanah Negara (PAN) pula tak payah cakap.Ia memang mahu PAS segera angkat kaki.

Sementara itu Presiden Perkasa,Datuk Ibrahim Ali yang mengulas isu berkenaan dalam sidang akhbar Isnin juga berpendapat tiga Exco PAS itu harus letak jawatan.
Katanya alasan mereka perlu pelihara mandat PRU13 tidak boleh digunapakai kerana PAS bertanding atas gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.

Kata Ibrahim PAS sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan kerajaan Selangor yang diterajui PKR selepas ia memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.

Ahli Parlimen PAS  Pokok Sena,Datuk Mahfuz Omar menerusi satu kenyataan kata dari segi moral PAS harus jauhkan diri dari PKR dan DAP setelah mendakwa keduanya khianati dan menentang agenda PAS.

Katanya PAS juga tidak perlu tunggu titah dari Sultan Selangor untuk arah perletakan jawatan tiga Exco letak jawatan.

Mahfuz menilai langkah letak jawatan Exco barulah selari dengan keputusan Muktamar PAS dan Majlis Syura PAS. Orang lama dalam politik yakni Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga menilai tiga Exco PAS  tidak wajar terus berada dalam kerajaan negeri Selangor kerana hubungan politik antara mereka dengan PKR sudah tiada.


"Dah putus hubungan politik, sepatutnya tiada lagi campuran dengan pihak yang sudah dicerai. Pas perlu berpegang kepada prinsip, di mana putus hubungan, putuslah segalanya.

"Tak kira apa yang jadi. Namun sekarang, keputusan lain, buat lain. Ini lebih kepada kepentingan kebendaan. Walaupun keputusan di peringkat tinggi sekalipun, mereka sanggup langgar kerana kepentingan kebendaan,’kata Tengku Razaleigh.

Para pemimpin PAS Selangor kini berpegang kepada pendirian tidak akan letak jawatan selagi tidak ada titah dari Sultan Selangor arah berbuat demikian.

Mereka juga berpegang kepada cakap bahawa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali sendiri tidak kata minta mereka letak jawatan.

Ini ekoran isu laporan media yang mendakwa Azmin meminta mereka letak jawatan semasa pertemuan pagi Jumaat lalu.

Sekalipun pimpinan PAS Selangor menafikan adanya permintaan itu dari Azmin namun Menteri Besar itu sendiri setakat ini belum membuat kenyataan terbaru mengenainya.

Azmin sebelum ini memang ada kata tiga Exco itu akan kekal dalam kabinetnya.

Dalam politik yang terdedah kepada serba kemungkinan ini siapa tahu kalau-kalau beliau tersepit dalam kemelut ini antara nak bersilat dengan tekanan dalam parti agar singkirkan tiga Exco PAS dan nak jaga periuk nasi politiknya sendiri untuk tayang kononya kerajaan Selangor terus stabil.

Tidak ramai pemerhati yang duga Azmin berani secara terbuka kata ‘get out’  kepada PAS sekalipun beliau dikatakan cukup tidak senang dengan alasan diberi oleh Majlis Syura PAS dalam memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Lagipun dalam politik tidak semua kata-kata perlu diucapkan secara langsung.

Mesej itu boleh datang menerusi pihak kedua atau ketiga.

Bukankah suara Saifuddin, Rafizi ,Guan Eng dan Tony Pua cukup jelas.

Kalau itu bukan suatu pendirian orang-orang kanan Pakatan Harapan siapa lagi agaknya yang ada ada locus standi untuk cakap bab ini dalam gabungan pembangkang itu?

Soalnya sekarang apakah PAS akan angkat kaki sendiri melihat polimek yang menyelubunginya atau terus menunggu dan menunggu ‘Langkah Azmin’.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment