Mahathir sekolahkan PKR cara perang persepsi

Solidariti dalam Pakatan Harapan nampaknya goyah apabila memasuki zon membentuk persepsi bahawa ia mampu menawarkan pimpinan lebih ampuh, kreatif dan berwibawa berbanding Umno-Barisan Nasional.

Sebaik sahaja PKR mencuit isu berkenaan dalam Kongres Kebangsaannya minggu lalu, terburailah ikatan lesu di antara PKR dan PPBM yang dipimpin oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ada pihak berpandangan bahawa menyelitkan agenda menayangkan poster ‘Anwar PM ke-7’ dalam kongres berkenaan adalah ‘perangkap’ PKR bagi menduga pemikiran Mahathir dalam isu siapa Perdana Menteri PH.

Namun Mahathir lebih cekap. Beliau cuma bermain dengan telefon bimbitnya merakamkan keghairahan PKR mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Ada dalam PKR tersinggung dengan gelagat Mahathir tidak menghormati majlis PKR itu.

Bagaimanapun ramai juga di luar kongres yang bersimpati dan memuji Mahathir yang secara spontan ‘melepaskan diri’ daripada lilitan protokol politik PKR itu.

Sebenarnya, perangkap PKR sudah diletakkan di pintu masuk dewan persidangan lagi. Tetamu dan perwakilan disuguhkan dengan petisyen melalui tandatangan menyokong pembebasan Anwar Ibrahim.

Mahathir menurunkan tandatangannya; mungkin atas dasar muhibah dan menghormati majlis. Bagaimanapun dalam ‘drama’ mahu Anwar menjadi perdana menteri, Mahathir menepis. Beliau memilih merakamkan sahaja percubaan ‘nakal’ PKR itu.

Di segi teknikalnya, Mahathir memang tidak ada banyak alasan untuk tidak menyokong pemilihan Anwar sebagai calon perdana menteri jika PH menang PRU ke-14.

Ini kerana Pakatan Rakyat yang memasuki metamoforsis politik menjadi Pakatan Harapan dengan pertukaran anggota daripada PAS kepada Amanah sudahpun mempunyai ketetapan memilih Anwar sebagai calon perdana menteri.

Dalil paling ketara ialah dalam ‘permainan persepsi’ minggu lalu itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah dengan riang turut menjunjung poster berkenaan kerana ini adalah kunci pemuafakatan.

Justeru apabila PPBM memilih menyertai PH, ia haruslah akur bahawa PH sudah ada calon Perdana Menteri kerana itu sudah jadi ‘ketetapan politik’.

PKR lekas-lekas buat pusingan U

Namun PPBM yang dipimpin Mahathir bukan parti politik biasa. Ia mahu terbabit dalam politik negara mengikut keperluan dan keselesaannya.

Gagalnya Mahathir mengangkat poster berkenaan adalah lambang betapa jelasnya Mahathir tidak mahu Anwar menjadi calon berkenaan.

Langkah Mahathir ini ada kesannya. Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga ahli PKR segera membuat U-turn dan mengakui kempen poster itu adalah cadangan di peringkat PKR sahaja.

"PH belum pernah berbincang mengenai jawatan tersebut. Namun, PKR secara jelas menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ada juga parti dalam PH yang menyokong idea itu.

Bentakan senyap Mahathir berkesan. Maka tampil pula Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, cuba mencuri mata dalam perang persepsi dengan mengumumkan dapatan jentera penyelidikannya, INVOKE.

Katanya, INVOKE mendapati bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Satu kaji selidik terhadap 17,962 orang responden mendapati 31 peratus memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1 peratus memilih Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala, 34.4 peratus daripada responden berkenaan tidak menjawab.

Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama di kalangan penyokong pembangkang untuk menjadi perdana menteri.

Kaji selidik menerusi telefon itu meletakkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat kedua manakala Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar di tangga ketiga.

Hampir 6,200 atau 34.6 peratus daripada 18,000 responden yang menjawab soalan berhubung pilihan mereka sebagai perdana menteri memilih pemimpin pembangkang.

Daripada jumlah itu, 23.5 peratus memilih Anwar, 17.6 peratus memilih Hadi, manakala 16.5 peratus memilih Mahathir.

Mungkin Rafizi berkira bahawa laporan lagak saintifik ini adalah ‘perang persepsi’ yang tidak akan dipertikaikan. Namun tidak dengan Mahathir. Beliau secara sinis berkata kajian itu sebagai 'syok sendiri'.

"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri," katanya sambil menegaskan senarai nama itu tidak bermakna sekiranya pembangkang gagal menang pilihan raya akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana