Kupasan terkini peristiwa Natrah: Melayu kembali tidur...?

Jika dibaca buku mengenai kisah nasib gadis Belanda Natrah @ Maria Hurberdina Bertha Hertogh, 67 tahun lalu, pasti ramai yang lebih 'terkesan' dengan kisah cinta dan kasih sayangnya. Cinta terhadap suaminya, Mansor Adabi dan kasih serta sayang terhadap ibu angkatnya, Che Aminah.

Tetapi bagi mereka yang hidup di zaman penuh tragedi dan provokasi serta mereka yang mengikuti kisah itu, pastinya ia merupakan satu sejarah yang tidak mungkin akan luput sehingga bila-bila.

Biarpun sudah lebih enam dekad tragedi berdarah sehingga tercetusnya Rusuhan Natrah itu, tetapi implikasi yang berlaku daripada tragedi itu sebenarnya cukup relevan dengan apa yang berlaku hari ini.

Jika ada yang mempersoalkan kenapa isu Natrah masih lagi mahu dipanjangkan dan dibincangkan, jawapannya cukup mudah.

Kisah itu sebenarnya telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah terutama sekali apabila ia membabitkan soal agama, budaya dan latar belakang.

Menurut penulis buku  'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata', Puan Sri Fatini Yaakob, berkata, ramai yang tidak sedar, Rusuhan Natrah itu telah membuka mata orang Melayu untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa.

"Sebelum kisah Natrah ini berlaku, orang Melayu dianggap penjajah sebagai satu bangsa yang bodoh dan malas. Namun, peristiwa yang menimpa Natrah ini merupakan takdir Allah untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu daripada terlalu mengagungkan Barat.

"Inilah takdir Allah yang sangat besar terhadap bangsa Melayu. Sekiranya Allah tidak hantar anak mat saleh (Natrah) itu, orang Melayu akan terus menerus memuja mat saleh, dan kita akan lambat lagi merdeka.

"Jadi apabila Allah hantar Natrah, dengan sendiri orang Melayu baru sedar, bahawa mereka telah menghina maruah dan harga diri mereka sendiri," katanya.

Hanya kerana sedikit 'kesilapan' yang dilakukan Che Aminah Ahmad, iaitu menjodohkan Natrah yang pada ketika itu berusia 13 tahun dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, orang Melayu bangkit mempertahankan maruah agama.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu.

Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Jelas, peristiwa ini telah membuka mata orang Melayu untuk membela maruah agama, memartabatkan Islam dalam perlembagaan merdeka dan sekaligus bagi mencapai kemerdekaan tanah air.

"Jika bukan kerana kisah Natrah ini, pasti kita akan lambat lagi merdeka walaupun saya tertanya mengapa kita merdeka selepas tujuh tahun peristiwa ini berlaku," ujar Fatini.

Kisah Natrah merupakan takdir yang ditentukan oleh Allah sehingga menyaksikan  kebangkitan orang Melayu mempertahakan maruah agama.

"Ia merupakan cabaran dan ujian kepada orang Melayu. Namun persoalannya sekarang, adakah orang Melayu kita kini, kembali 'tidur' setelah bermatian memperjuangkan akidah Islam gadis Belanda itu?

"Setelah 27 tahun, persoalan timbul apabila melihat orang Melayu dan Islam hanya diam apabila agama bangsa mereka dihina. Siapa yang mahu mengangkat semula? Manakah Islam bila kita dihina. Manakah kita bila Melayu dihina?” tanya Fatini.

Fatini menceritakan pengalamannya dalam pembentangan Imbasan 67 Tahun Natrah: Polimik Yang Diperdebatkan di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada Isnin.

Program Pembentangan Natrah: Imbas Semula Selepas 67 Tahun itu dianjurkan bersama ITBM dan Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar).

Turut hadir, Pengerusi ITBM, Budiman Mohd. Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khir Ngadiron.

Pemergian Natrah pada 9 Julai 2009 ketika berusia 79 tahun, dianggap sebagai pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun.

Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu namun setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

Hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam," ujar Fatini.

Keputusan Ketua Hakim Mahkamah Singapura mengarahkan beliau diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negara itu tidak boleh diterima oleh orang Melayu ketika itu yang kuat dan tebal pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.

Bagi mereka, soal agama dan budaya adalah perkara yang tidak langsung boleh dikompromi terutama sekali isu murtad dan ia seharusnya dipelihara sehingga ke liang lahad.

Begitulah impak yang terhasil daripada kehidupan seorang wanita biasa namun istimewa bernama Natrah ini.

Kerana Natrah juga, ramai yang tidak tahu beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ketika itu telah menjadi tokoh serta negarawan terbilang dan tersohor.

Sampai bila-bila pun, kisah ini akan terus bersemadi dalam hidup dan ingatan sebahagian daripada.

Cuma, adakah insiden Natrah ini akan membuka mata kita terutama kepada generasi muda hari ini untuk dijadikan iktibar agar ia tidak akan berulang lagi?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana