Hanya Yang di-Pertuan Agong berhak tentukan siapa Perdana Menteri

Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat menuju ke Putrajaya sekali lagi menjadi polemik dan hangat diperdebatkan.

Perkara itu kembali menjadi perhatian apabila Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini mencanangkan nama Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

Yang menjadi tumpuan dalam perhatian itu ialah tindak-tanduk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin tidak mengangkat plakad promosi Anwar selaku Perdana Menteri.

Memang jelas keadaan itu mendatangkan rasa pelik terhadap dua bekas pemimpin Umno itu, yang diketahui saingan politik tegar Anwar sejak dua dekad lalu.

Serentak dengan itu, sana-sini mulut orang mula memperkatakan Pakatan Harapan tiada calon Perdana Menteri dan ia dipaparkan sebagai tiadanya perpaduan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan.

Dr Mahathir bingkas mempertahankan tindakannya dan memberitahu, tiada gunanya menamakan calon jika tidak menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Menang dahulu pilihan raya baru cakap siapa jadi Perdana Menteri. Kalau tak menang macam mana mahu cakap mengenai Perdana Menteri,” katanya Dr Mahathir.

Kenyataan itu disambut oleh Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang terang-terangan senada dengan Dr Mahathir.

Namun begitu, soal calon Perdana Menteri terus diperkatakan sehinggakan Ketua Armada PPBM yang mengetuai sayap pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa bancian diadakan untuk memilih Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan.

Ingin penulis tegaskan, tindakan ini hanya sia-sia dan mana-mana pihak yang bisingkan soal Perdana Menteri wajar meneliti Perlembagaan Persekutuan semula.

Seperti yang pernah dibincangkan dalam artikel terdahulu, soal siapa menjadi Perdana Menteri adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Hak melantik ketua Kerajaan Persekutuan adalah terletak pada Seri Paduka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 selaras dengan Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah petikan Perkara 40 (1A) dan Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan yang penulis salin bulat-bulat daripada laman sesawang Jabatan Peguam Negara Malaysia:-

Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat

40 (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini;tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1 A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a)  melantik seorang Perdana Menteri;

(b)  tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c)  meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sematamata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.

Justeru, sekali lagi harus diingatkan bahawa perihal siapa menjadi Perdana Menteri adalah di bawah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Segala kebimbangan yang diutarakan kononnya Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng akan menjadi Perdana Menteri adalah tidak berasas sebenarnya.

Malah tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa belum tentu Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum Ke-14. Perlembagaan Persekutuan jelas memberi kuasa menentukan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong sudah tentu akan meneliti sebaik-baiknya mengenai keupayaan setiap ahli Dewan Rakyat yang dipilih rakyat untuk dijadikan Perdana Menteri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana