GAGAL KAWAL NAFSU SERAKAH DIRI, TAPI SALAHKAN KOS SARA HIDUP

Penulis kadang-kala bosan melihat segelintir masyarakat di negara ini, khususnya pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah yang begitu kuat mengeluh tentang kos sara hidup yang meningkat di era pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Padahal, setiap dekad kos sara hidup meningkat. Itu memang normal. Bagi mereka yang belajar ekonomi, mereka akan akui kebenaran itu.

Menghairankan, mereka mengeluh dan meluahkan rasa marah di laman-laman sosial yang berasaskan internet dan dipercayai menggunakan medium telefon pintar untuk menggambarkan ketidak puasan hati mereka.

Ada juga di kalangan mereka dari kalangan penjawat awam dan orang bujang yang baru bekerja. Dan keluhan-keluhan itu sengaja diapi-apikan oleh ‘soldadu-soldadu’ puak pembangkang untuk memarakkan lagi api kebencian kepada pihak kerajaan dan pucuk pimpinan.

Ada yang tidak berpuas hati dengan pendapatan diri sebanyak RM3,000 sebulan dan isterinya yang turut bekerja dikatakan terpaksa membuat kerja sampingan untuk ‘hidup’ di Lembah Klang, yang digambarkan sebagai lokasi yang paling terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Penulis agak hairan bila mereka menggelar diri mereka sebagai ‘miskin’ sebenarnya. Apa pengertian mereka sebagai ‘miskin’? Mereka bandingkan pemimpin negara dengan pemimpin di zaman pada sahabat, namun apakah mereka bandingkan kemiskinan mereka dengan kemiskinan di zaman sahabat dulu?

Di zaman para sahabat dulu, misalnya di zaman pentadbiran Saidina Umar Al-Khattab, terdapat sebuah kisah terkenal mengenai ibu yang terpaksa memasak batu untuk mententeramkan anaknya yang kelaparan sebelum dibantu oleh Khalifah itu.

Apakah ada di kalangan rakyat di negara ini mencapai tahap memasak batu dalam periuk seperti itu? Apakah ada di kalangan kita yang terkejar-kejar pulang ke rumah selepas menunaikan solat subuh di surau untuk memberikan kain yang dipakai kepada isteri bagi menunaikan solah subuh seperti di zaman itu?

Kononnya ‘miskin’, tapi mampu memiliki telefon pintar, membeli data internet dan kemudian mengutuk kerajaan di media sosial? Data internet dan kutukan membuta tuli itu mampu mengisi perut yang lapar dan memenuhkan beras di rumah masing-masing?

Telefon pintar bukan keperluan. Internet juga bukan keperluan. Gas memasak itu keperluan? Melanggan Astro itu satu keperluan? Komputer riba itu keperluan? Cuba kira berapa banyak barang kehendak yang berada di rumah masing-masing?

Orang miskin jangankan telefon pintar, telefon bimbit pun belum tentu mereka miliki. Mereka tidak peduli tentang data internet asalkan mereka dapat beras untuk dimasak. Mereka tidak perlukan gas memasak, cukup dengan kayu api yang dikumpul untuk menanak nasi.

Orang miskin tidak perlu melanggan Astro. Mereka lebih selesa membaca meluangkan masa dengan membaca Al-Quran selepas penat bekerja di siang hari. Mereka tidak terhegeh-hegeh mahu melihat gegar vaganza seperti orang ‘miskin yang perasan kaya’.

Pelajar miskin tidak merengek mahukan komputer riba. Mereka boleh ke makmal komputer sekolah atau IPT. Penulis dan ramai lagi kawan-kawan penulis pernah buktikan tanpa komputer riba pun mampu menggenggam segulung ijazah.

Orang miskin lebih mementingkan keperluan hidup berbanding kehendak dan nafsu yang tidak bertepi. Jika dapat RM10 sehari, orang miskin menadah tangan bersyukur dengan pemberian Tuhan. Tidak mengeluh pun dengan rezeki pemberian Allah itu.

Tapi mungkin kerana terlalu mengada-ngada dan lemah mental, maka segelintir masyarakat ‘baru’ ini cuba menunjukkan betapa lemahnya diri mereka. Mereka lupa bahawa harga barang bukan keperluan dikawal oleh prinsip ‘demand and supply’. Mereka lupa hakikat bahawa rezeki itu ditangan Allah SWT!

Tidak perlu buat kerja sampingan jika tidak mahu. Bekerjalah bersungguh-sungguh di tempat kerja, jangan ‘mengular’, jangan makan rasuah dan patuh pada hukum agama. Jangan tinggal solat, bersyukur dan bertawakkal kepadaNya. Rezeki itu akan berkat, Allah akan bantu dan hati akan tenang.

Mereka yang tidak tenang, sentiasa mengeluh dan tidak bersyukur dengan ikhlas selalunya membabitkan mereka yang tidak yakin pada ketentuan Allah yang memberi rezeki. Mereka tidak sedar bahawa kehendak dan nafsu mereka meningkat terlalu tinggi mengatasi kemampuan diri.

Mereka patut renung diri masing-masing. Tidak perlu tipu diri sendiri dan jawablah sejujur-jujurnya dengan akal yang waras, ‘kos sara hidup meningkat atau kehendak nafsu diri mereka yang meningkat tinggi mengatasi kemampuan diri?’. Cuba fikirkan…

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana