Susah Sangat Nak Berdebat!!!!! "Jika di Malaysia pun sudah tidak boleh, kita buat di Antartika sebab di sana hanya ada penguin.

Tidak berpuas hati dengan pembatalan buat kali kedua berkenaan debatnya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, kali ini Datuk Seri Nazri Aziz secara sinis mencadangkan ia diadakan di luar negara.
 
"Mungkin kita boleh adakan di London atau Greenland, atau Antartika. Bila-bila masa tiada masalah. 
 
"Jika di Malaysia pun sudah tidak boleh, kita buat di Antartika sebab di sana hanya ada penguin. 
 
"Tambahan mereka pun tidak faham Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, jadi mungkin tiada kekecohan," ujarnya ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Nazri juga hairan mengapa tindakan sedemikian diambil pihak berkuasa, seolah-olah beliau merupakan ancaman terbesar kepada keselamatan negara.
 
Beliau berkata pembatalan debat itu hanya diketahui menerusi wakil penganjur, Karangkraf, ketika berada di luar negara tempoh hari.
 
"Mungkin saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara? Saya tidak boleh bayangkan, jika saya sebagai menteri merupakan ancaman kepada negara, apakah saya ini pembangkang? 
 
"Mungkin polis merasakan Dr Mahathir sebut bahawa saya mungkin hendak buat kenyataan mengejutkan seperti meninggalkan kerajaan, mungkin polis percaya dan tidak beri (kebenaran).
 
"Pertemuan singkat saya dengan Dr Mahathir di Perak baru-baru ini juga tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Saya agak terkejut yang saya dilayan sebegini," tegasnya lagi.
 
Dialog yang sepatutnya berlangsung pada 7 April ini yang melibatkan Dr Mahathir dan Nazri, dibatalkan oleh pihak polis atas alasan keselamatan, tambahan pihak polis menerima 18 laporan daripada orang ramai yang membantah debat tersebut.
 
Sebelum ini penganjuran debat yang dijadualkan berlaku pada 25 mac di MRSM Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak juga dibatalkan atas faktor-faktor keselamatan.
 
Mengulas lebih lanjut, Nazri percaya pembatalan debat itu bukan datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
"Saya berkesempatan jumpa PM pada dua minggu lalu ketika hendak jawab soalan di Dewan Rakyat.
 
"PM ucapkan terima kasih kepada saya kerana sanggup mengadakan wacana dengan Dr Mahathir untuk mempertahankan beliau. Jadi saya tak fikir beliau menjadi punca pembatalan ini.
 
"Begitu juga dengan TPM, saya jumpa beliau sebelum ini dan beliau menyatakan sokongan. Malah dalam mesyuarat jemaah menteri dua kali sebelum ini pun perkara ini tak dibincangkan, bermakna tak jadi masalah," ujarnya lagi.
 
Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga diminta mengulas cadangan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya debat itu berlangsung di hotel.
 
Nazri, sekali lagi secara sinis menjawab supaya lebih baik debat itu diadakan di Auditorium Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras memandangkan ia 'kawasan' polis. 
 
"Mungkin jika kita buat di Auditorium PDRM Cheras mungkin (boleh). Kalau boleh dicadangkan di sana, saya difahamkan tempat itu besar dan ia tempat polis, mungkin kita cadangkan polis jadi penganjur wacana ini," katanya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana